Dua wanita cecah usia seabad, Kad Perak Sejahtera ringankan kehidupan harian

USIA yang menjangkau satu abad lazimnya dikaitkan dengan pelbagai kekangan fizikal dan menghadapi masalah kesihatan.

Namun bagi dua wanita warga emas di Bagan Serai, kehidupan pada usia lebih 100 tahun masih dilalui dengan penuh kesederhanaan, namun kekuatan kudrat masih tinggi.

Di sebalik rutin harian yang sederhana itu, inisiatif seperti Kad Perak Sejahtera yang diperkenalkan kerajaan negeri menjadi antara sokongan penting dalam membantu meringankan perbelanjaan asas, khususnya menjelang Ramadan dan musim perayaan.

Menetap di Kampung Depan Balai Polis, Bagan Serai, Normadiah Mahmood, 60, yang menjaga ibunya, Siah Saad, 102 tahun berkata, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada keluarga mereka yang selama ini.

warga emas 100 tahun Kad Perak Sejahtera Kad Perak Sejahtera bantuan warga emas, warga emas Bagan Serai Perak, bantuan kerajaan negeri Perak B40, inisiatif Perak Sejahtera 2030, kisah warga emas lebih 100 tahun
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Siah Saad, 102, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

Menurutnya, bantuan melalui Kad Perak Sejahtera yang diterima ibunya sejak daripada tahun 2020 itu sedikit sebanyak membantu keluarga menyediakan keperluan harian termasuk membeli bahan makanan buat ibunya.

Katanya lagi, setiap kali menjelang Ramadan, wanita warga emas itu akan mula merancang menu berbuka dengan meminta keluarga menyediakan hidangan kegemarannya.

“Kalau esok nak puasa, hari ini dia sudah suruh beli macam-macam untuk masak. Dia suka lauk rendang dan ayam masak merah. Dan Apabila waktu berbuka, dia orang yang sudah mula tunggu di tempat makan.

“Dan sememangnya bantuan kerajaan negeri ini membantu dan kami sangat berterima kasih,” katanya.

Normadiah Mahmood 60, anak penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Siah Saad, 102, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed di Bagan Serai baru- baru ini.

Pada program berkenaan, Salbiah menyantuni di samping menyampaikan kotak makanan serta sumbangan tunai.

Turut hadir ke program tersebut, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.

Dalam pada itu Normadiah berkata, meskipun usianya sudah melepasi satu abad, ibunya masih mempunyai ingatan yang kuat dan mampu menjalani kehidupan seharian dengan rutin yang hampir sama setiap hari.

Katanya, pada seawal pagi ibunya akan memulakan hari dengan menunaikan solat Subuh sebelum menghabiskan sebahagian besar masa dengan berzikir dan membaca al-Quran sehingga waktu Dhuha.

“Zikir itu memang tak berhenti. Dia berhenti sekejap untuk sembahyang, kemudian sambung lagi sampai sebelum Zuhur. Lepas itu dia tidur sekejap dan sambung lagi sampai waktu Asar, dan begitu juga pada waktu malam,” ujarnya.

Jiran seperti keluarga

Sementara itu sekitar tiga kilometer, di Parit Mentara 2, Kampung Masjid Tinggi, Rayah Sukor, yang berusia 100 tahun, juga menerima manfaat sama menerusi inisiatif Kad Perak Sejahtera.

Wanita itu juga merupakan antara penerima manfaat yang paling berusia yang mana menerima bantuan bulanan RM100 untuk membeli barangan keperluan asas.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Rayah Sukor, 100, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

Menurut jirannya, Hamidah Amer, 64, wanita yang mesra disapa ‘angah’ dalam loghat Banjar itu lazimnya akan dibawa anak-anaknya ke kedai berhampiran bagi membeli pelbagai barang keperluan terutama ketika menyambut Ramadan.

Dia berkata, pada usia 100 tahun itu, ia tidak menghalang Rayah untuk menjalani ibadat berpuasa di samping lebih gemar memasak sendiri juadah berbuka mahupun sahur, berbanding membeli makanan di luar.

warga emas 100 tahun Kad Perak Sejahtera Kad Perak Sejahtera bantuan warga emas, warga emas Bagan Serai Perak, bantuan kerajaan negeri Perak B40, inisiatif Perak Sejahtera 2030, kisah warga emas lebih 100 tahun
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Rayah Sukor, 100, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

“Angah memang lebih suka masak sendiri lauk-pauk berbanding beli di kedai atau bazar Ramadan.

“Walaupun duduk berjauhan, namun anak-anaknya secara rutin akan menemani ibu mereka untuk berbuka puasa atau menemaninya pada hari kebiasaan.

“Anak-anak pun ada mempelawa Rayah untuk tinggal bersama mereka, namun dia lebih selesa untuk tinggal di rumahnya sendiri,” katanya.

warga emas 100 tahun Kad Perak Sejahtera Kad Perak Sejahtera bantuan warga emas, warga emas Bagan Serai Perak, bantuan kerajaan negeri Perak B40, inisiatif Perak Sejahtera 2030, kisah warga emas lebih 100 tahun
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni penerima Kad Perak Sejahtera paling tua, Siah Saad, 102, pada Program Ziarah dan Berbuka Puasa di Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF 02 MARCH 2026.

Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, program seperti Kad Perak Sejahtera bukan sahaja membantu meringankan kos kehidupan, malah menjadi tanda keprihatinan terhadap golongan warga emas.

Program kad bantuan khas yang diberikan kepada isi rumah kumpulan B40, miskin dan miskin tegar itu turut menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030, yang menekankan pembangunan sosial, kebajikan rakyat serta akses kepada kemudahan yang lebih baik di seluruh negeri.

Inisiatif di bawah pelan yang digagaskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu juga melambangkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat yang memerlukan tidak ketinggalan dalam soal pembangunan, mahupun kebajikan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Usaha perkasa Kad Perak Sejahtera bukti Kerajaan Negeri utama rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI