KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan dua warga China dalam serbuan di tiga lokasi sekitar Genting Highlands, Pahang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Operasi Khas yang dilakukan pada jam 1.39 petang itu berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara China masing-masing berumur 45 dan 32 tahun.
Sosial (PLS) yang diberikan manakala lelaki yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Modus operandi suspek adalah menjalankan aktiviti penjualan rokok China yang diseludup secara haram dan mensasarkan warga China yang datang ke Genting Highlands.
“Harga jualan adalah di antara RM20 hingga RM30 untuk sekotak rokok pelbagai jenama daripada China dan telah beroperasi selama lima bulan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ruslin, turut dirampas dalam operasi itu ialah 111 kotak rokok, 102 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup secara haram dan wang tunai sebanyak RM600.00
Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Tegas JIM, pihaknya tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). -MalaysiaGazette