MELAKA – Pekerja tapak bina warga Bangladesh didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah membelasah kekasihnya warga Thailand menggunakan kerusi dan tali pinggang di rumah sewa mereka minggu lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md Rasal, 41, selepas duda dua anak itu membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Miss Siriphon Aekhiam, menggunakan seutas tali pinggang di dalam unit rumah di Blok P, Pangsapuri Plaza Melaka Raya, kira-kira jam 8.21 malam, 25 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu, kecederaan parah dialami mangsa juga akibat tertuduh memukulnya menggunakan kerusi selain tali pinggang.
Difahamkan, insiden berpunca apabila mangsa yang tinggal dan menyewa bersama tertuduh sering memarahinya atas pelbagai sebab.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana tertuduh adalah warga asing selain mangsa cedera teruk akibat dipukul menggunakan kerusi dan tali pinggang sehingga dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Kent Tan merayu denda rendah kerana tertuduh yang sudah bercerai perlu menyara anak kecil berusia tujuh dan lima tahun serta ibu bapa yang uzur di Bangladesh.
Hujahnya, pekerja tapak bina itu juga hanya berpendapatan bulanan RM2,500 yang mana RM1,500 akan dihantar ke Bangladesh manakala RM500 diberikan kepada kekasihnya sebagai bayaran sebahagian sewa rumah didiami bersama wanita itu sehingga hari ini.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette