Duda tidak mengaku salah cederakan siak surau guna parang

TAIPING – Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas pertuduhan mencederakan siak surau dengan menggunakan parang Rabu minggu lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Kamarudin, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Noor Sakinah Haroon Arashid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Normuda Mod Noor, 68, dengan menggunakan sebilah parang.

Kesalahan itu dilakukan di Surau Nurul Hidayah di Jalan Bukit Jana, Kampung Bukit Jana, dalam daerah Larut Matang dan Selama, sekitar jam 2.30 petang  pada 10 Disember 2025.

Berikutan itu, tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain dikenakan syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Sementara peguam yang mewakili tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad mencadangkan agar mahkamah mengenakan hukuman yang rendah kepada anak guamnya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa, lelaki yang mempunyai tiga anak itu pernah mendapatkan rawatan psikiatri, justeru beliau meminta mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM2,000.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 29 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan, seorang siak surau parah selepas ditetak berulang kali oleh seorang lelaki bersenjatakan parang di Surau Nurul Hidayah, di Kampung Bukit Jana pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail dilaporkan berkata, suspek bertindak menyerang dan menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala serta tangan.

Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap mangsa. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Siak parah ditetak lelaki positif dadah di surau

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI