IPOH – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, itu ujian yang dihadapi Zuraidah Khairuddin, 55, tatkala bercerai selepas disahkan menghidap kanser tahap empat tahun lalu.
Ibu kepada empat anak dan tujuh cucu itu berkata, sebelum itu dia telah disahkan menghidap kanser payudara tahap satu, kira-kira empat tahun lalu.
Katanya, selepas tahap kesihatanya mula stabil, dia kembali diuji menghidap kanser hati, limpa, dan tulang yang akhirnya membawa kepada perceraian.
“Selepas saya menjalani rawatan pada tahun 2021, saya melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan disahkan menghidap kanser tahap empat.
“Sebaik sahaja saya disahkan menghidap kanser tahap empat, tiba-tiba suami yang ketika itu berusia 66 tahun melepaskan saya, tanpa diberitahu apa sebab, atau kesalahan saya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Motivasi Jalinan Kasih Sahabat Pejuang Kanser anjuran Persatuan Sahabat Pejuang Kanser Negeri Perak di Hotel Weil, dekat sini, pada Ahad.
Pada majlis berkenaan, Zuraidah menerima penghargaan ‘The Greatest Fighter’ atau Pejuang Terhebat sebagai pejuang kanser tabah yang menghadapi pelbagai dugaan hidup.
Menurut ibu tunggal itu, walaupun diuji dengan penyakit kanser, dia kini masih cekal dalam menjaga kedua orang tuanya yang uzur di Kampung Serkai Jadi, Tronoh.
Katanya, penyakit yang dialami tidak sedikit pun mematahkan semangatnya dalam berbakti kepada Khairudin Mohd Daim, 85 yang sakit tua, serta Samsiah Panjang Rambut, 78, yang mengalami penyakit buah pinggang dan kencing manis.
Zuraidah berkata, selain rutin rawatan mingguan penyakitnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dia juga perlu membawa ibunya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Seri Iskandar melalui perkhidmatan e-panggilan.
“Saya terus kuat demi ibu bapa kerana saya hanya dua beradik, yang mana abang berusia 57 tahun kini menetap di Kuala Lumpur.
“Kadang-kala hati itu memang rasa berat sangat memikirkan tanggungjawab yang harus dipikul. Akan tetapi saya fikir, siapa lagi boleh menjaga mereka ketika ini,” katanya lagi.
Tambah Zuraidah, selain sokongan daripada anak-anak, Persatuan Sahabat Pejuang Kanser Negeri Perak yang disertainya antara lain turut menjadi penyuluh kepadanya dalam menjalani liku-liku kehidupan.
Katanya, selain mempelajari gubahan bunga, sesi pengajian agama yang dianjurkan persatuan itu juga disifatkan sebagai pembakar semangat buat dirinya.
“Selain bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya juga menyara kehidupan dengan menerima tempahan menyediakan kuih-muih tradisional, seperti kuih limas.
“Saya bersyukur kerana hampir setiap hari saya menerima pelbagai tempahan sama ada untuk majlis perkahwinan, tempahan di kedai makan dan sebagainya.
“Keuntungan bulanan yang diraih kira-kira RM1,000 itu dijadikan perbelanjaan untuk saya menguruskan orang tua saya terutama ibu yang memerlukan rawatan dialisis,” katanya lagi.
Dalam pada itu Zuraidah menyarankan agar masyarakat segera membuat ujian saringan supaya dalam menjalani rawatan awal mencegah kanser.
“Pada saya, apa yang pihak doktor cakap itu, kita ikut sahaja kerana mereka lebih pakar. Apa yang penting, hidup ini harus ceria dan jangan terlalu memikirkan penyakit kita ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pesakit kanser jangan menyendiri