Dugaan menjelang Ramadan, lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah terbakar

SUNGAI SIPUT – Menjelang Ramadan, lima sekeluarga diuji apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Orang Asli Kajang di sini, pada awal pagi Jumaat.

Dalam insiden sekitar jam 5.30 pagi semalam, Asmadi Berapit, 41, bersama isteri dan tiga orang anak mereka berusia antara lima hingga 19 tahun sedang nyenyak tidur di rumah yang diperbuat daripada kayu itu.

Mengimbas kembali detik cemas itu, Asmadi berkata, sewaktu kejadian mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum isterinya terdengar bunyi aneh yang datang dari arah ruang tamu.

“Isteri segera mengejutkan saya untuk bangun dan saya melihat api sedang marak di ruang tamu rumah tersebut.

Dugaan menjelang Ramadan, lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah terbakar
Asmadi Berapit menunjukkan rumahnya yang 100 peratus musnah dalam kebakaran di Kampung Orang Asli Kajang, Sungai Siput pada Sabtu.

“Selepas itu, saya bertindak menyelamatkan anak-anak keluar daripada rumah. Kami tidak sempat untuk menyelamatkan segala barangan kerana api marak terlalu cepat.

“Semua barangan seperti televisyen, peti sejuk termasuk kereta Perodua Kancil, dua buah motosikal jenis Honda Fame dan C70 yang digunakan sebagai pengangkutan harian musnah sekelip mata,” katanya ketika ditemui MG Perak di kampung tersebut pada Sabtu.

Dia yang bekerja kampung berkata, apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api, rumah yang didiami lebih 40 tahun itu sudah musnah sepenuhnya.

“Kami sekeluarga kini menumpang di rumah saudara yang juga tinggal di kampung ini dan saya terpaksa bercuti buat sementara waktu bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan rumah ini.

Dugaan menjelang Ramadan, rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Orang Asli Kajang
Asmadi Berapit menunjukkan kereta jenis Perodua Kanncil yang turut musnah dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Orang Asli Kajang, Sungai Siput pada Sabtu.

“Sehubungan itu, saya berharap ada pihak yang tampil untuk membantu membina semula rumah ini dengan segera,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami mencecah lebih RM20,000.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan ketika ditemui berkata, beliau sempat singgah lokasi kejadian tersebut untuk melawat dan menyampaikan bantuan awal kepada keluarga terbabit.

“Kita telah melihat keadaan rumah keluarga tersebut yang musnah 100 peratus dan segala barangan hangus terbakar dalam kejadian itu.

“Justeru, bantuan awal diberikan sebanyak RM2,000 untuk kegunaan keluarga terbabit dan mungkin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi berkaitan akan menyampaikan bantuan susulan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dugaan menjelang Ramadan, lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah terbakar
Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan (dua kiri) menyampaikan bantuan awal RM2,000 kepada Asmadi Berapit pada Sabtu apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Orang Asli Kajang, di sini, awal pagi Jumaat. Foto ihsan S Kesavan

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara tersebut kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Insan Malaysia yang pernah membantu membaik pulih rumah masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan Sungai Siput.

“Mereka pernah bantu saya setahun lalu dengan membina dua rumah baharu di kampung Orang Asli sekitar Parlimen Sungai Siput dan akan cuba menyegerakan pembinaan rumah keluarga berkenaan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suami isteri melecur dalam kebakaran

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI