Dulu jual jamu kecil-kecilan, sekarang buka spa

ASALNYA dia hanya memulakan perniagaan jamu secara kecil-kecilan namun langkahnya tidak terhenti di situ.

Roslida Muhamad, 53, atau lebih mesra disapa Kak Edda nekad memajukan dirinya dengan mengusahakan Edda Confinement & Mobile Spa yang terletak di Kampung Tawas, di sini sejak setahun lalu.

Dia turut mempunyai sebuah cawangan yang menjalankan perniagaan sama di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini.

Spa mini yang diusahakannya menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan antaranya mandi lulur, bertangas, urutan dan refleksologi, penjagaan ibu dalam pantang serta penjagaan warga emas.

MAIPk, STeP bantu salur dana

Bagi memperoleh ilmu yang cukup untuk menjalankan perniagaan Roslida mengikuti Kursus Refleksologi dan Urutan selama enam bulan di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Selain MAIPk, dia turut menerima bantuan dana daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang bekerjasama dengan AmBank Islamic menerusi program iTekad yang menyediakan dana pembiayaan kepada usahawan mikro khususnya golongan asnaf.

Menurutnya, dia menerima dana wang tunai termasuk kit permulaan urutan dan refleksologi berjumlah RM9,500 daripada MAIPk dan memperoleh RM5,000 menerusi STeP melalui iTekad.

Dulu jual jamu kecil-kecilan, sekarang buka spa
Pemilik Edda Confinement & Mobile Spa, Roslida Muhamad, 53, menawarkan perkhidmatan urutan tradisional untuk wanita dan bekam ketika tinjauan MG Perak di Kampung Tersusun Tawas Tambahan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Saya mula menceburi bidang urutan dan refleksologi selepas menyertai program Proper A anjuran MAIPk yang dikendalikan Humaira Training Centre pada tahun lalu.

“Selepas tamat kursus, saya dilimpahi rezeki dengan menerima pelanggan untuk menjalankan perkhidmatan urutan dan refleksologi.

“Alhamdulillah saya turut menerima bantuan daripada MAIPk dan STeP. Dana yang diterima saya gunakan untuk mengubahsuai kedai sedia ada dan menambah peralatan di premis ini,“ katanya.

Ibu kepada tiga orang anak ini mampu menjana pendapatan antara RM3,000 ke RM5,000 sebulan hasil usaha menjalankan perniagaan tersebut.

“Pendapatan sewaktu menjual jamu dulu dengan sekarang amat berbeza. Kini, sebulan boleh cecah antara RM4,000 ke RM5,000 sebulan dan kalau ada acara (event) itu kira bonus.

“Kalau bergantung kepada pada spa dan perkhidmatan secara mobile sahaja sekurang-kurangnya RM3,000 sudah pasti diperoleh bagi tempoh sebulan.

Tawar perkhidmatan spa mampu milik

Dalam pada itu, Roslida berkata, kelainan spa miliknya berbanding yang lain adalah harga yang ditawarkan amat berpatutan.

Dulu jual jamu kecil-kecilan, sekarang buka spa
Pemilik Edda Confinement & Mobile Spa, Roslida Muhamad, 53, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Tersusun Tawas Tambahan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2024.

“Spa saya menawarkan harga mampu milik. Setiap bulan saya akan buat promosi. Contoh bulan ini saya buat promosi pakej harga RM99 meliputi perkhidmatan sauna dan urut, relaxing sauna dan rendaman kaki refleksologi,“ ujarnya.

Berhasrat perbesarkan spa, hasil produk sendiri

Dia turut menyimpan hasrat untuk mengembangkan perniagaannya dengan memperbesarkan spa sedia ada dan menghasilkan produk berkaitan dengan bidang yang diceburi.

“InsyaALLAH kalau ada rezeki, saya ingin perbesarkan spa. Mana tahu mungkin satu hari saya akan buat produk sendiri seperti balm atau minyak yang boleh digunakan untuk spa,“ ujarnya.

Dulu jual jamu kecil-kecilan, sekarang buka spa
Pemilik Edda Confinement & Mobile Spa, Roslida Muhamad, 53, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Tersusun Tawas Tambahan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Dalam pada itu, Roslida mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membangunkan perniagaannya sehingga membuahkan hasil dan mampu menambahkan pendapatan dia sekeluarga.

“Terima kasih kepada AmBank, STeP, MAIPk dan Humaira Training Centre serta semua pihak terbabit. Bantuan ini bukan setakat meringankan beban tetapi memberikan semangat dan harapan baharu dalam perniagaan saya.

“Saya rasa bersyukur dan akan memanfaatkan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin,“ jelasnya.

Kak Edda sentiasa bagi komitmen terbaik

Sementara itu, Perunding Latihan Humaira Training Centre, Harisun Kassim, 45, berkata, Roslida antara peserta yang memberi komitmen terbaik sepanjang kursus berlangsung.

“Roslida adalah salah seorang peserta program Proper A anjuran MAIPk dan saya sebagai perunding latihan yang dilantik agensi berkenaan.

Dulu jual jamu kecil-kecilan, sekarang buka spa
Perunding Latihan Humaira Training Centre, Harisun Kassim, 45, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Tersusun Tawas Tambahan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Alhamdulillah, sepanjang program dia memberi banyak komitmen dari awal kelas sehingga habis banyak peningkatannya.

“Awal dulu kedai dia macam stor namun selepas MAIPk beri bantuan peralatan diikuti STeP pula memberi bantuan menerusi iTekad RM5,000 untuk membuat spa mini dan nampak perkembangan,” katanya.

Harisun turut mengalu-alukan orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan spa daripada Roslida atau rakan-rakan dalam kumpulannya boleh berbuat demikian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Proper A 2024, peruntuk RM1.18 juta libat 105 peserta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI