SIAPA sangka pengurus produksi yang pernah terlibat dalam pembikinan filem pecah panggung ‘Mat Kilau’ kini bergelar tauke sambal jenama Syilis Syilicious (Syilis) sejak empat tahun lalu.
Shahrol Annaz Abdul Nasir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. (Sylis) berkata, sejarah awal jenama berkenaan bermula sekitar 2020 sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara.
Katanya, dengan bermodalkan RM100 dia dan isterinya Siti Nur Suhada Salehudin, 37, menghasilkan 20 botol sambal hijau menggunakan nama Meksaleh sebagai permulaan menjual produk sedia dimakan ‘ready to eat’ berkenaan.
Bagaimanapun bagi menarik lebih ramai pelanggan dia dan isteri bersetuju menjenamakan semula sambal botol keluaran mereka kepada Syilis yang kedengaran lebih ‘catchy’.
Menurut beliau, nama Syilis tercipta hasil gabungan nama pengasasnya, iaitu dirinya dan isteri serta anak-anak mereka Syaza Alya Batrisya, Syazani Danish Danial dan Syaza Aleesya termasuk bahan utama sambal iaitu cili.
Berbekalkan perkakas dapur sedia ada mereka mula menjalankan perniagaan tersebut secara kecil-kecilan dan menggunakan platform media sosial sebagai pemasaran produk.
Bapa kepada tiga orang anak yang berusia 37 tahun itu berkata, beliau serta isteri mula mengembangkan perniagaannya selepas produk tersebut mula mendapat maklumbalas positif serta menerima permintaan tinggi daripada orang ramai.
“Produk terawal yang dikeluarkan adalah sambal hijau ikan bilis diikuti sambal hijau petai dan sambal hijau petai.
“Selepas produk sambal mendapat sambutan menggalakkan, kami berpindah ke kilang baharu di Kawasan Perindustrian Ringan Siputeh pada tahun 2021 dan mendapat pensijilan halal dan Mesti (Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dengan bantuan daripada agensi kerajaan.
“Antara agensi kerajaan yang terawal membantu kami adalah Jabatan Pertanian Negeri Perak, kerajaan negeri menerusi STeP (Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak) serta agensi lain yang berkaitan.
“Jika sebelum ini, kapasiti pengeluaran produk adalah sebanyak 1,000 botol sehari mungkin jumlah tersebut akan meningkat sehingga 5,000 pengeluaran sehari.
“Ini kerana kita sudah mempunyai mesin baharu hasil bantuan daripada agensi serta permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.
Berjaya dapat kerjasama Petronas
Dalam pada itu, Shahrol Annaz berkata, mereka juga mempunyai sijil halal untuk pengilangan original equipment manufacturer (OEM) yang membolehkan mana-mana individu atau syarikat untuk membuat sambal menggunakan jenama sendiri.
Katanya, pada 2022, mereka berjaya mendapatkan kontrak dengan Petronas Dagangan Berhad (Petronas) untuk memasarkan tiga produk iaitu sambal nasi lemak, sambal penyet dan sambal ikan bilis garing menggunakan nama Sambal Mesra di lebih 700 kedai Mesra Petronas seluruh negara.
“Kejayaan terbesar kami adalah apabila berjaya mendapatkan kontrak dengan dengan Petronas menerusi produk OEM.
“Selain itu, kejayaan lain yang dikecapi apabila produk sambal kami menembusi pasaran luar negara di Singapura, Turkiye (Istanbul) dan Jepun.
“Walaupun berdepan dengan jatuh, bangun, turun dan naik dalam perniagaan, kami bersyukur kerana dapat mencapai pelbagai kejayaan tidak kira besar atau kecil.
“Kami juga sentiasa mengambil sikap positif dan berharap segala yang diusahakan pasti akan ada sinar di hujung jalan. InshaALLAH,” ujarnya.
Sambal ‘ready to eat’ untuk pengembara
Beliau berkata, atas permintaan ramai mereka turut menghasilkan produk sambal yang dipeketkan dalam kuantiti 30 gram (gm) sesuai khususnya untuk pengembara serta jemaah yang menunaikan umrah atau haji.
“Kita turut menyediakan pelbagai jenis sambal dalam pek ‘ready to eat’ bagi memudahkan orang ramai untuk membawanya ketika melancong.
“Malah, kita juga menjual sambal dalam kuantiti 1 dan 5 kilogram (kg) bagi restoran dan hotel supaya mereka mengekalkan rasa masakan yang sama di semua cawangan perniagaan masing-masing,” jelasnya yang memaklumkan harga sebotol sambal dijual bermula RM12 hingga RM17.
Saingan lambakan sambal di pasaran
Shahrol Annaz berkata, walaupun terdapat pelbagai jenis produk sambal dalam pasaran, Syilis mempunyai keistimewaannya yang tersendiri terutamanya dari segi rasa dan pembungkusan.
“Memang kita tahu sambal memang menjadi makanan harian, jadi boleh dikatakan semua rumah ada sambal. Kalau saya nak claim lebih tak boleh juga. Tapi apa yang saya boleh kata kelebihan Syilis adalah dari segi rasa.
“Walaupun kita memprosesnya di kilang tapi rasanya seperti memasak di rumah dan kita tidak menggunakan bahan pengawet serta terdapat beberapa ‘rahsia’ yang membuatkannya ia tidak sama dengan sambal lain di pasaran.
“Sambal ini juga menggunakan teknologi retort hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari kilang kami sendiri. Pembungkusan label yang berwarna warni mengikut jenis sambal juga menjadi salah satu daya penarik kepada produk ini,” katanya.
Syilis bakal buka restoran?
Sementara itu, beliau berkata, pelbagai rancangan diatur bagi memastikan Syilis sentiasa kekal relevan dalam pasaran sama ada di dalam mahupun di luar negara.
“Kita akan fokus untuk mengembangkan produk Syilis ke pasaran global seperti Arab Saudi dan China serta mungkin Syilis akan membuka cawangan restoran pada masa akan datang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: