DUN Perak bentang usul Enakmen Berkaitan Pengawalan Haiwan Berkeliaran

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa, membentangkan usul berkenaan cadangan mewujudkan Enakmen atau Peraturan Baharu Berkaitan Pengawalan Haiwan-Haiwan Berkeliaran.

Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Angeline Koo Haai Yen itu sebagai langkah untuk menyelesaikan isu haiwan berkeliaran yang mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat setempat seperti lembu, kerbau dan anjing liar.

Ketika membentangkan usul, beliau berkata, masalah lembu dan kerbau berkeliaran sehingga menimbulkan kegusaran awam kerap dibangkitkan beberapa dalam persidangan DUN.

Ujar beliau, selain tidak mendapat kerjasama daripada penternak, soal kebersihan alam sekitar dan keselamatan jalan raya ekoran daripada masalah haiwan yang berkeliaran juga sering menjadi isu awam.

“Bayangkanlah jika ahli keluarga tersayang kita mengalami kemalangan malah menghilang nyawa dalam kemalangan yang berpunca dari kerbau-lembu merayau, apakah perasaan kita?

“Bayangkan jika kita bangun pagi, membuka pintu rumah, terdapat tombokan-tombokan najis ternakan berbau busuk di hadapan rumah kita.

“Lembu dan kerbau berkeliaran ini bukan sahaja membawa risiko kepada pengguna jalan raya malah terhadap pegawai penguatkuasa cedera semasa tangkapan dilakukan,” katanya pada Persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Tambah Haai Yen, melalui enakmen baharu itu, semua penternak lembu dan kerbau dicadangkan untuk menandakan haiwan ternakan masing-masing serta boleh dikenakan tindakan sekiranya ia menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.

Justeru ujar beliau, Enakmen Kawalan Kerbau dan Lembu 2001 Negeri Pahang boleh dijadikan rujukan untuk mewujudkan enakmen khusus itu.

“Selain itu masalah anjing-anjing liar juga sering menjadi aduan penduduk tempatan. Saya percaya pendekatan TNR atau perangkap-mandulkan-lepaskan merupakan satu cara yang efektif untuk mengurangkan bilangan anjing-anjing liar.

“Walaubagaimanapun, kos TNR terlalu tinggi dan membebankan kewangan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, malah ia memakan masa yang panjang untuk dilaksanakan,” jelasnya.

Seramai tiga ADUN kerajaan dan tiga ADUN pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul yang berlangsung lebih dua jam.

Mereka adalah, Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik), Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh), Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang), Hafez Sabri (PN-Manjoi) serta Wong May Ing (PH-Pantai Remis).

Ketika sesi perbahasan Zainol Fadzi berkata, walaupun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak membantu membendung masalah haiwan liar berkeliaran namun masih terdapat kelemahan yang boleh diperbaiki.

“Saya mencadangkan agar diperkenalkan sistem ‘tagging’ dan pendaftaran haiwan yang lebih berkesan untuk memastikan setiap haiwan ternakan ditandakan dengan jelas.

“ Ini akan memudahkan proses pengenalpastian dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pemilik haiwan yang cuai,” katanya.

Persidangan DUN Perak bersambung pada Rabu.- MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sidang Dun Perak akan bentang dua usul persendirian

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI