IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Belanjawan Negeri 2026 berjumlah RM1.61 bilion sebulat suara selepas dibahaskan selama tiga hari, pada Selasa.
Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2026 itu mendapat sokongan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa sebarang bantahan.
Sepanjang perbahasan yang berlangsung sejak Rabu, seramai 44 ADUN telah terlibat pada sesi perbahasan iaitu masing-masing 18 orang dari blok kerajaan, dan 26 orang dari pembangkang.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan belanjawan negeri tersebut dengan menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ADUN-ADUN ketika sesi perbahasan.
Speaker DUN, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan belanjawan negeri diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas undian secara suara oleh 59 ADUN tanpa pindaan.
Pada 25 November lalu, Saarani membentangkan belanjawan negeri bagi tahun 2026 berjumlah RM1.61 bilion yang tertinggi dalam sejarah.
Peruntukan itu meliputi belanja mengurus sebanyak RM1.045 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM568 juta.
Meneruskan tema Pelan Perak Sejahtera 2030, “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan Perak 2026 memberi fokus kepada lima bidang utama.
Bidang berkenaan adalah, Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.
Sementara itu, pada persidangan sama, DUN Perak menyaksikan usul pelantikan Ahli Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Ahli Jawatankuasa Kebajikan Ahli.
Seramai enam ADUN dari blok kerajaan dan pembangkang dilantik menganggotai Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, serta Hak dan Kebebasan manakala lima bagi Jawatankuasa Kebajikan Ahli, dengan ketiga-tiganya dipengerusikan Speaker DUN. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak bentang Belanjawan 2026 RM1.61 bilion, tertinggi dalam sejarah


