IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu meluluskan usul Mengadakan Persidangan Khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat, pada Khamis
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Khalid membuat pengumuman itu selepas ia dipersetujui melalui undian suara kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pada Rabu, Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) membawa usul berkenaan bagi dibincangkan kerana ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat di Negeri Perak.
Seramai tiga ADUN kerajaan dan tiga ADUN pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul yang berlangsung kira-kira tiga jam.
Mereka adalah, Goh See Hua (PH-Pasir Pinji), Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol), Ong Boon Piow (PH-Bercham), Ahmad Man (PN-Kuala Sepetang), Najihatussalehah Ahmad (PN-Manjoi) serta Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka).
Ketika menggulungkan usul, Chai Yi berkata, melalui perbincangan bersama, beliau berharap satu jawatankuasa bersepadu dapat ditubuhkan melalui persidangan khas itu di samping dapat melibatkan semua pihak.
Ujar beliau, ia termasuk penglibatan semua pakar-pakar daripada jabatan dan agensi kerajaan, institut pengajian tinggi atau sektor swasta yang mempunyai teknologi serta kemahiran tertentu.
“Persidangan khas merujuk kepada suatu mesyuarat atau pertemuan yang diadakan di luar jadual biasa dengan tujuan untuk membincangkan isu-isu tertentu yang mendesak atau memerlukan perhatian segera.
“Persidangan Khas bukan Sidang Dewan Khas, Sultan Perak sahaja boleh memperkenankan Dewan Undangan Negeri Perak untuk bersidang,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: