IPOH – Kemeriahan musim durian tahun ini menyaksikan gerai Durian Petron Ipoh yang diusahakan Aidilah Mohamed Sudin terus menjadi lokasi tumpuan peminat ‘raja buah’ itu khususnya mereka yang menetap di sekitar bandar raya ini.
Menurut Aidilah, nama ‘Durian Petron’ diambil sempena lokasi asal gerainya yang dahulu terletak berhampiran stesen minyak Petron Ampang dan beroperasi selama lima tahun sebelum berpindah berhampiran Medan Gopeng, di sini.
Beliau yang berpengalaman menjual pelbagai jenis durian telah mengusahakan jualan buah itu selama 22 tahun.
“Di sini, saya jual pelbagai jenis durian daripada durian kampung sehingga durian premium. Antara durian yang dijual adalah Udang Merah, IOI, Musang King, durian kahwin, Duri Hitam, D14 dan D24.
“Bekalan buah ini diperoleh daripada kebun di Sungai Siput dan Liman Kati di Kuala Kangsar.
“Setakat ini, jumlah bekalan buah masih seperti biasa walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak di sini, pada Selasa.
Gerainya yang beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11 malam mampu menjual antara satu hingga dua tan durian sehari bergantung kepada jumlah buah yang gugur.
Menariknya, setiap pembelian durian di gerai itu disertakan jaminan atau ‘waranti’ untuk semua jenis durian termasuk kampung dan longgok.
“Setiap pembelian durian di sini ada jaminan satu tahun waranti, tidak kira sama ada buah kampung, buah bakul sendiri pun saya ada waranti, yang longgok ini pun tetap ada waranti,” jelasnya yang turut menjual buah cempedak kahwin dengan harga RM12 sekilogram.
Tambahnya lagi, hubungan baik dengan pelanggan adalah kunci utama kejayaan perniagaannya hingga ke hari ini.
“Biasalah kita meniaga ada kadang-kadang okay, kadang-kadang biasa. Paling penting sekali, kita cari kepercayaan pelanggan. Itu sajalah,” katanya yang menjual durian mengikut harga pasaran serta kualiti buah tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, musim durian tahun ini dijangka berpanjangan sehingga September susulan kebun yang mempunyai bunga tiga lapis.
“Pada bulan April lalu, saya telah cuba jual durian Thailand namun sambutannya kurang memberangsangkan.
“Memandangkan pokok durian di kebun ada bunga tiga lapis, jadi mungkin musim durian kali ini dijangka akan berterusan sehingga September depan,” jelasnya.
Sementara itu, pelanggan, Junaidi Jasni, 25, berkata, gerai tersebut disyorkan oleh rakan-rakan sekerja yang juga penggemar durian.
“Kawan-kawan rekomen, sebab saya memang tak tahu apa-apa. Balik kerja mereka ajak makan di sini kerana semua pakat craving (mengidam),” ujarnya yang menikmati durian kampung di gerai tersebut bersama rakan sekerjanya.
Suri rumah, Shirah Azwa Zubir, 56, dari Pengkalan Pegoh pula mengakui sudah lima kali ke gerai tersebut kerana kualiti buah yang baik serta harga yang ditawarkan amat berpatutan.
“Pemilik gerai senang bekerjasama. Hari ini saya makan Musang King bersama suami, anak dan cucu. Dari segi harga, kejap naik kejap turun, namun masih mampu milik dan buah dijual cantik,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: