SK Rapat Setia catat sejarah sekolah bandar pertama tanam padi

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Ipoh mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menjadi sekolah bandar pertama di Malaysia melaksanakan projek penanaman padi yang diberi nama ECORICE SKSR.

Ini membuktikan projek penanaman padi bukan hanya terhad di kawasan kampung tetapi boleh juga di kawasan bandar seperti mana yang dilaksanakan sekolah berkenaan.

Guru Besar, SK Rapat Setia, Nor Hizan Abd Jalil berkata, projek penanaman padi secara itu tidak langsung dapat mendidik murid mengenai proses penghasilan makanan ruji negara bermula dengan menanam padi sehinggalah menjadi beras dan nasi secara tradisional.

Menurutnya, perancangan untuk melaksanakan projek tersebut bermula awal tahun lalu dan selepas mengadakan perbincangan bersama semua guru mereka menghantar kertas kerja kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

“Projek ini terkandung dalam model keenam iaitu Kefahaman Melalui Rekabentuk (KMR) dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dan kami pun cuba untuk menghasilkan satu kelainan dengan melaksanakan ECORICE SKSR.

ECORICE SKSR: Sekolah bandar pertama di Malaysia laksana projek penanaman padi
Tenaga pengajar yang terlibat menjayakan projek penanaman padi yang dijenamakan sebagai ECORISE SKSR ketika tinjauan MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2024.

“Pada masa sama, kami juga dapat berbincang mengenai cara terbaik untuk membantu dalam mengatasi situasi negara yang kekurangan beras padi putih tempatan.

“Kami sudah berbincang bersama-sama apakah solusi terbaik untuk membangunkan tapak di belakang sekolah kerana kawasannya yang berair serta lembab dan tidak sesuai untuk dijadikan tempat murid beriadah atau menanam tanaman lain.

“Justeru, kami membuat keputusan untuk menjalankan penanaman padi di kawasan seluas 30×15 meter (m). Untuk pengetahuan semua kami menanam padi moden dan kami juga menanam padi secara tradisional serta dibantu sepenuhnya oleh Perak SADC,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MG Perak sewaktu meninjau projek ECORICE SKSR di sekolah berkenaan pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar Operasi dan Perladangan Perak SADC, Noorasidi Mohamed Noordin.

ECORICE SKSR: Sekolah bandar pertama di Malaysia laksana projek penanaman padi
Guru Besar, Nor Hizan Abd. Jalil pada sesi sidang media selepas melihat hasil padi yang ditanam pada projek penanaman padi yang dijenamakan sebagai ECORISE SKSR ketika tinjauan MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2024.

Tanam padi guna kaedah moden, tradisional

Dalam pada itu, Nor Hizan berkata, sekolah tersebut menjalankan padi menggunakan kaedah moden dan tradisional di kawasan berkenaan.

“Untuk penanaman padi moden, kami menggunakan kaedah planter box yang berukuran 3 x 2 m. Di sekolah kami terdapat 15 planter box dengan setiap satu boleh menghasilkan sekitar 10 kilogram (kg) beras dan ia dijangka boleh menghasilkan 150 kg beras secara keseluruhan.

“Di antara itu (planter box), kita juga melakukan penanaman padi secara tradisional dan hasilnya juga lebih kurang 150 kg.

“Itu adalah jangkaan awal, tetapi selepas melalui proses penanaman, rupanya ada perkara yang kami belajar antaranya seperti padi diserang siput gondang, belalang dan seterusnya kami belajar dengan Perak SADC cara untuk memusnahkan makhluk perosak tersebut,” jelasnya.

Katanya, penanaman padi itu menunjukkan perkembangan positif dengan kemenjadiannya yang subur serta dijangka dapat dituai pada bulan Syawal akan datang.

“Selain padi, kami turut menanam pokok kelapa dan InshaAllah di kawasan berhampiran tapak padi itu, kami akan menanam pokok tomato. Kami akan berusaha memaksimumkan semua tanah yang ada di sekitar kawasan sekolah,” ujarnya.

ECORICE SKSR: Sekolah bandar pertama di Malaysia laksana projek penanaman padi
Suasana sekitar projek penanaman padi yang dijenamakan sebagai ECORISE SKSR ketika tinjauan MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2024.

Nor Hizan turut memaklumkan sebelum ini pihak sekolah telah menjalankan projek edu farming (pendidikan pertanian) dengan Perak SADC.

“Di sini kami turut menjalankan projek fertigasi dan hidroponik yang juga projek pertama bersama Perak SADC. Pelbagai sayuran yang ditanam antaranya bayam, sawi, pak choy, cili api, strawberi dan anggur.

“Selain itu, terdapat tanaman herba, betik dan jagung. Ini secara tidak langsung murid dapat merasai sendiri hasil tanaman sayur dan buah-buahan tersebut bukan sekadar melihat di kaca televisyen sahaja.

“Menerusi projek yang dijalankan, murid-murid dilihat sangat teruja dengan mengajukan pelbagai soalan berhubung aktiviti pertanian. Di samping itu, mereka (murid) turut gembira bercerita pengalaman mereka di tapak penanaman padi tersebut.

“Mereka bercerita mengenai pengalaman jumpa belalang, ikan laga dan mereka juga sudah dapat membezakan antara rumput dan padi dengan bantuan guru,” katanya.

ECORICE SKSR: Sekolah bandar pertama di Malaysia laksana projek penanaman padi
Suasana sekitar projek penanaman padi yang dijenamakan sebagai ECORISE SKSR ketika tinjauan MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2024.

Buku Padi Saya

Sementara itu, beliau menjelaskan di samping penanaman padi, pihak sekolah turut mengaitkan projek tersebut menerusi pengajaran dan pembelajaran melibatkan murid pemulihan yang masih belum menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan menaakul.

“Dengan ada penanaman padi ini, guru pemulihan khas menghasilkan buku bertajuk ‘Buku Padi Saya’ yang membantu murid untuk mengenal huruf dan membaca dengan cepat.

“Segala kandungan dalam buku ini termasuk ilustrasi dan gambar semua diambil di sekitar sekolah terutamanya di tapak penanaman padi.

ECORICE SKSR: Sekolah bandar pertama di Malaysia laksana projek penanaman padi
Guru Besar, Nor Hizan Abd. Jalil (kanan) bersama Pengurus Besar Operasi dan Perladangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PERAK SADC), Noorasidi Mohamed Noordin melihat hasil tanaman hidroponik yang ditanam ketika tinjauan MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2024.

“Apa yang penting, murid terbabit bukan setakat membaca tetapi boleh memegang padi. Buku ini juga membantu murid untuk lebih cepat menguasai kemahiran membaca serta berjaya mengurangkan bilangan murid yang kurang mahir membaca di sekolah ini,” katanya.

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Nor Hizan berharap orang ramai akan mengenali identiti sekolah menerusi projek penanaman padi ini.

“Sehubungan itu, kami memohon supaya Perak SADC terus membantu dan berharap padi yang dihasilkan akan lebih banyak serta berkualiti pada masa akan datang,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Geran pemadanan bantu pesawah miliki kilang proses padi skala kecil

MGPerak: ECORICE SKSR: Sekolah Bandar Pertama Di Malaysia Laksana Projek Penanaman Padi

MGPerak: ECORICE SKSR: Sekolah Bandar Pertama Di Malaysia Laksana Projek Penanaman Padi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI