TAIPING – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.03 kilogram (kg), sekitar dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Fauzi Mohd Mokhtar dan Dzulkarnai Maliki masing-masing berusia 42 dan 47 tahun mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu yang masing-masing bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai makan didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 21,037.10 gram.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan kedai di Jalan Medan Simpang, Taiping pada jam 11.15 malam, 3 Mei tahun ini.
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Atiqah kemudiannya menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Pada 6 Mei lalu, media melaporkan satu sindiket pengedaran dadah yang baru tiga bulan aktif tumpas selepas dua dalang kumpulan berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta jenis Proton Waja tersebut menjumpai sebuah guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 46 bungkusan plastik lutsinar.
Menurutnya, setiap satu bungkusan itu mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat lebih 21 kg bernilai RM262,275. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nelayan, pembantu kedai ditahan bersama 21 kg Heroin