Ejen pekerja asing mengaku tak salah lima pertuduhan tipu pelaburan

IPOH – Seorang ejen pekerja warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, pada Khamis atas lima pertuduhan menipu pelaburan melibatkan nilai kira-kira RM58,000 tahun lalu.

Tertuduh, N. Narendran, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu M Punnusamy, 66, dengan memperdaya untuk mempercayainya bahawa tertuduh boleh memberi pulangan pelaburan pembekalan barang-barang Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tinggi.

Tindakan tertuduh itu telah mendorong Punnusamy memasukkan wang berjumlah RM35,000, RM10,000, RM6,800, RM5,500 dan RM700 ke dalam akaun Maybank dan Hong Leong Bank atas nama Mess N Medical Supplies miliknya.

Narendran didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank dan Hong Leong Bank masing-masing di cawangan Pasir Puteh dalam Daerah Ipoh antara 27 hingga 23 Disember 2023.

Ejen pekerja asing tidak mengaku salah lima pertuduhan tipu pelaburan tertuduh mahkamah menipu
Seorang ejen pekerja warga asing, N. Narendran, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi atas lima pertuduhan menipu berhubung pelaburan melibatkan nilai kira-kira RM58,000 tahun lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 SEPTEMBER 2024.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, dan dengan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vathira Wong Rui Fern mencadangkan agar jaminan sebanyak RM30,000 ditawarkan bagi kelima-lima pertuduhan itu.

Vathira Wong turut mencadangkan syarat tambahan ke atas tertuduh iaitu perlu melapor diri ke balai polis berhampiran pada setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Namun, peguam K Nahtan memohon jaminan dalam lingkungan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dikenakan ke atas bapa kepada seorang anak itu, selain tiada bantahan untuk anak guamnya melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Nahtan juga memohon kepada mahkamah agar pasport milik Narendran tidak diambil kerana ia adalah dokumen yang diperlukan untuk lelaki itu menjalankan urusan kerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Akauntan ditipu RM160,000 pakej bayar bil TNB

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI