IPOH -Ekosistem latihan kulinari yang lengkap dan tersusun di Perak memberi kelebihan kepada negeri ini membina reputasi sebagai hab latihan kulinari utama negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia seiring dengan agenda pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menjadi teras Perak Sejahtera 2030.
“Perak bertuah kerana mempunyai ekosistem latihan kulinari yang lengkap dan tersusun, merangkumi lebih 30 institusi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai latihan dalam bidang kulinari serta makanan dan minuman (F&B).
“Daripada jumlah tersebut, 13 adalah Kolej Komuniti yang menawarkan kursus kulinari secara berstruktur, di samping GIATMARA, Kolej Vokasional dan Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng yang turut melatih generasi muda dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Haaza Centre of Excellence 2025 di Hotel Casuarina@ Meru, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Haaza, Azizul Mohd Othman.
Tambah Saarani, turut memperkukuh ekosistem berkenaan adalah institusi swasta yang berperanan melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta bersedia menempuh cabaran industri.
“Kekuatan rangkaian ini memberi kelebihan kepada Perak untuk membina reputasi sebagai hab latihan kulinari utama negara, seiring dengan agenda pembangunan TVET yang menjadi teras Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, bidang kulinari kini telah melangkaui fungsi asalnya di mana ia tidak lagi terhad dalam menyediakan hidangan dan sajian untuk mengisi perut semata-mata.
Jelas beliau, ia telah menjadi industri yang menghubungkan budaya, menjana ekonomi, dan membentuk gaya hidup masyarakat.
“Bagi memastikan keunikan ini terus dipelihara dan diperkasa, peranan TVET kulinari amat penting. Graduan bukan sahaja perlu mahir dari segi teknik masakan, tetapi juga berupaya mengangkat cita rasa Perak ke tahap lebih tinggi.
“Mereka juga perlu mempersembahkan kisah di sebalik setiap hidangan, serta mengekalkan keaslian dan kualiti yang menjadi kebanggaan kita,” katanya.
Saarani berkata, usaha ini turut disokong oleh kekuatan rangkaian institusi latihan kulinari di negeri ini yang telah membina ekosistem lengkap bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Katanya lagi, kekuatan berkenaan memberi keyakinan bahawa Perak mampu terus memacu pelancongan kulinari, seterusnya memberi manfaat ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada anak muda. -MG Perak
Artikel Berkaitan: