IPOH – Penduduk sekitar Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong diminta agar tidak panik sekiranya terlihat kehadiran anggota tentera asing bersama konvoi kenderaan sepanjang tempoh dua minggu bermula Khamis depan.
Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia menerusi satu kenyataan memberitahu, ini kerana ia susulan penganjuran Eksesais KERIS STRIKE Tahun 2025 yang akan berlangsung dari 17 hingga 30 Julai ini.
Katanya, eksesais tahunan tersebut melibatkan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) dan Tentera Darat Australia (Australian Army).
“Latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan operasi bersama antara tentera negara-negara terlibat.
“Juga memperkukuh hubungan ketenteraan dan mempertingkat tahap kesiapsiagaan TDM dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan serantau,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Tambahnya lagi, latihan tersebut akan melibatkan kawasan sekitar beberapa daerah utama di Negeri Perak termasuk Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong.
Katanya, justeru orang ramai diminta memberi kerjasama dan tidak menimbulkan kekeliruan terhadap kehadiran aset ketenteraan asing yang terlibat dalam eksesais ini.
Eksesais KERIS STRIKE merupakan antara latihan bilateral Malaysia dan Amerika Syarikat yang telah dimulakan sejak tahun 1996. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
5,600 anggota tentera dikerah bantu mangsa banjir