PASIR SALAK – Malaysia berhasrat untuk mengekalkan dominasi dalam sektor halal global melalui penyertaan pada Ekspo Dunia yang akan berlangsung di Osaka, Jepun selama enam bulan bermula pada pertengahan April depan.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Khairul Azwan Harun berkata, justeru pihaknya menyasarkan 2,000 penyertaan dalam kalangan usahawan dan syarikat Malaysia untuk menyertai ekspo antarabangsa berkenaan.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Halal Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meminta agar HDC meningkatkan bilangan penyertaan pemain industri halal tempatan ke acara berkenaan
“Walaupun kita sedang di pusingan akhir untuk memuktamadkan bilangan peserta, namun peluang untuk menyertai Ekspo Dunia 2025 di Osaka ini masih dibuka.
“Ada segmen industri halal di Ekspo Dunia itu nanti dan kita tidak mahu ketinggalan memperkenalkan produk dan perkhidmatan kita di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Kursus Go Halal X-Pert di Kolej Komuniti Pasir Salak, dekat sini pada Ahad.
Tambah Khairul Azwan, pemain industri tempatan yang menyertai Ekspo Dunia akan berpeluang bukan sahaja mempamerkan produk, malah boleh membina jaringan di peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, penglibatan Malaysia dalam ekspo berkenaan juga bertujuan untuk menarik minat pelabur multinasional asing untuk datang membuka kilang di Malaysia.
Malah kata beliau, pihaknya juga berharap melalui usaha itu, syarikat terbabit akan mengeluarkan produk halal dengan menggunakan sijil Malaysia di beberapa taman industri halal dalam negara.
“HDC dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membantu membawa usahawan dan syarikat Malaysia bagi menembusi pasaran halal global.
“Dan dalam masa terdekat ini, kita akan perkenalkan mekanisme dan cara untuk kita bawa lebih banyak syarikat Malaysia pergi ke Ekspo Dunia,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: