KUALA LUMPUR – Keputusan 95 peratus anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang mahu parti tersebut kekal dalam Barisan Nasional (BN) adalah tepat dan amat dialu-alukan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, keputusan berkenaan selari dengan kehendak majoriti ahli MIC di akar umbi.
Lantaran itu, katanya, Presiden MIC perlu konsisten dan mengikut keputusan majoriti demi kebangkitan parti berkenaan dan kesatuan BN.
Jika tidak, menurut Puad, MIC akan berpecah dan tinggal sejarah.
“Apatah lagi jika MIC sertai PN yang berpecah. MIC tidak selamat.
“Lihat sahaja cara Pas membuli Bersatu seperti muslihat mereka kekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tidak berparti sebagai Ketua Pembangkang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Puad, lagipun MIC turut menyertai retreat BN yang diadakan bulan Febuari lepas.
Jelasnya, itu petanda awal MIC akan kekal dalam BN.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengesahkan parti itu akan kekal dalam Barisan Nasional (BN) buat masa ini, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan MIC akan menyertai gabungan pembangkang pada masa depan. – MalaysiaGazette


