Empangan Bukit Merah susut: JPS mohon laksana Pembenihan Awan

IPOH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan cadangan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan Empangan Bukit Merah, Bagan Serai.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu antara usaha segera susulan penyusutan bekalan air mentah di empangan tersebut sehingga ke paras kritikal akibat taburan hujan yang rendah sejak Mei lalu.

Menurutnya, JPS turut mengambil beberapa tindakan segera termasuk pelaksanaan catuan bekalan air mentah bagi memastikan sumber air sedia ada mampu bertahan sehingga musim hujan kembali.

“Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian Empangan Bukit Merah, apabila paras air mencecah 23 kaki atau 7.01 meter, bekalan air ke Rancangan Pengairan Kerian akan dicatu buat sementara waktu sehingga keadaan pulih.

“Bagaimanapun, bekalan air untuk kegunaan domestik masih dikekalkan supaya tidak berlaku gangguan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohammad Nizar berkata, hebahan mengenai pelaksanaan catuan dan langkah penjimatan air telah dibuat oleh JPS Kerian kepada para petani agar mereka sentiasa peka dan bersedia di lapangan.

Jelasnya lagi, Empangan Bukit Merah menjadi sumber utama air bagi penduduk di Kerian dengan 70 peratus daripadanya digunakan untuk Rancangan Pengairan Kerian selain membekalkan air mentah kepada Lembaga Air Perak (LAP) bagi kegunaan domestik.

“Antara langkah awal yang diambil termasuk penyediaan sumber air alternatif melalui rumah pam dan pam bergerak bagi membantu pesawah.

“Sumber air alternatif ini menyumbang kira-kira 15 peratus daripada keperluan melalui lembangan Sungai Kerian, Sungai Kurau serta air kitar semula.

“Ia digunakan sebagai tambahan bagi membolehkan pesawah mengepam air ke kawasan sawah,” katanya.

Bagi jangka masa panjang, Mohammad Nizar berkata, kerajaan merancang melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi meningkatkan kapasiti takungan empangan tersebut.

“Projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu dijangka mampu menyalurkan sebanyak 1,500 juta liter sehari (MLD), iaitu 1,000 MLD untuk kegunaan domestik di utara Perak dan 500 MLD bagi keperluan Rancangan Pengairan Kerian,” tambahnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak harap projek KIGIP siap menjelang 2028

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI