Empat Bazar Ramadan Rahmah di Perak

IPOH – Empat Bazar Ramadan Rahmah (BRR) akan beroperasi sepanjang Ramadan di negeri ini yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, BRR tersebut dilaksanakan di Bazar Ramadan Taman Cempaka; Bazar Ramadan Taman Perpaduan; Bazar Ramadan Taman Silibin dan Bazar Ramadan Belakang Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Manjung.

Menurutnya, seramai 8,000 pengunjung berpeluang menerima insentif e-dompet Touch n Go sebanyak RM20 seorang untuk berbelanja di BRR.

“Pemberian ini hanya terhad kepada 500 pengunjung terawal ke BRR pada tarikh-tarikh yang terpilih. Selain itu, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di BRR turut diberikan insentif RM50 secara one-off.

“Peniaga Menu Rahmah juga boleh memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah melalui portal Menu Rahmah KPDN, yang membolehkan mereka membeli bekalan bahan mentah pada harga diskaun dalam pasaran bagi barang-barang yang terpilih di enam pasar raya utama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan ‘walkabout’ BRR Taman Cempaka di sini, pada Khamis.

Tahun lalu, hanya satu BRR diadakan di Perak iaitu di Taman Persisiran Ipoh Riverfront atau dikenali People’s Park namun kurang mendapat sambutan daripada pengunjung.

Empat Bazar Ramadan Rahmah di Perak
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail melihat jualan kuih harga Rahmah ketika mengadakan sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah Taman Cempaka, Ipoh serta melancarkan Program Kempen MYSaveFood Ramadan. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 MAC 2024.

Sementara itu, seramai 239 penguat kuasa KPDN Perak dan pegawai Pemantau Harga ditugaskan bagi melaksanakan memantau harga barangan keperluan asas sepanjang Ramadan.

Katanya, penguatkuasaan yang dijalankan menerusi Op Pantau bermula Selasa lalu setakat ini tidak menerima aduan berhubung kenaikan harga.

“Kita juga tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga makanan tetapi kenaikan yang ada berpatutan namun, jika ada harga jualan yang tidak munasabah boleh boleh aduan dengan KPDN.

“Pegawai yang terlibat akan menjalankan penguatkuasaan undang-undang serta memantau harga barang-barang keperluan asas di bazar ramadan seluruh negeri termasuk pasar mini dan kedai runcit,” jelasnya.

Ujar beliau, pemeriksaan dan pemantauan akan diadakan lebih kerap ke atas harga barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak sambut baik Bazar Ramadan Rahmah jika diteruskan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI