TATKALA rumah moden ketika ini didominasi oleh binaan konkrit dan struktur batu, keindahan seni bina rumah kayu tradisional Melayu di pelosok kampung seolah-olah hanya menjadi saksi bisu yang menanti masa untuk rebah ke bumi.
Namun, di celah-celah keriuhan dan kesibukan Pasar Besar Ipoh, terdapat sebuah galeri yang menggerakkan usaha merekod sebuah khazanah Melayu yang kian hanyut dibawa arus pemodenan dalam bentuk miniatur.
Di bawah cahaya lampu kalimantang, Saari Ali, 71, mengabdikan lebih empat dekad hidupnya bagi menghasilkan replika rumah tradisional Melayu, khususnya dari negeri Perak buat tatapan generasi masa kini di Galeri Tisha.

Berasal dari Kampung Gunung Panjang, di Gopeng, bapa kepada empat anak itu berkata, dia mula aktif dalam seni menghasilkan rumah tradisional miniatur di Pasar Besar Ipoh pada sekitar tahun 1980an.
Katanya, minatnya dalam dunia seni lukisan berputik ketika kecil sebelum mula menceburi dunia seni pertukangan selepas kerap mengikut arwah bapanya, Ali Mat Rashid mengambil upah bertukang menyiapkan rumah kayu ketika di kampung.

“Saya ikut ayah buat rumah kayu di kampung semasa saya berumur 17 tahun. Pada mula-mula saya hanya ikut saja, bukan minat pun kerana sebenarnya lebih minat kepada melukis.
“Tetapi, apabila kerap mengikut ayah, saya mula rasa minat kepada kemahiran seni menukang khususnya menukang rumah tradisional Melayu,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Saari berkata, minatnya terhadap seni menukang makin mendalam apabila menyedari bahawa seni bina rumah tradisional Melayu semakin hari semakin hilang daripada pandangan mata.
Jelasnya, dorongan utama untuk membina rumah tradisional miniatur itu bukanlah semata-mata kerana wang ringgit, sebaliknya ia didasari oleh rasa bimbang terhadap kehilangan identiti bangsa itu pada masa akan datang.

“Apabila saya melihat di kampung-kampung rumah tradisional Melayu semakin usang, berkurang, dan ada yang ditinggalkan, saya fikir perlu lakukan sesuatu.
“Saya merasakan, jika kita tidak simpan (merekodkan) bagaimana bentuk atau rekaan rumah tradisional kita, di mana generasi muda khususnya anak Melayu akan datang hendak melihat rumah bangsanya sendiri,” ujarnya.
Keunikan rumah tradisional
Bagi Saari, keunikan rumah tradisional khususnya di Perak bukan hanya sekadar terletak pada reka bentuk luaran, sebaliknya nilai besar pada sesebuah rumah itu ada pada sejarah dan jiwa di setiap sudut seni bina yang terdapat padanya.
Menurutnya, seni bina rumah tradisional mempunyai identiti tersendiri yang unik, dengan ada antaranya pintu dan tingkap berbentuk bulat atau bujur serta struktur lain yang menambah seri pada rumah seperti papan cantik, tebar layar, pintu gerbang dan sebagainya.

Saari berkata, rumah tradisional Perak, Rumah Kutai misalnya, walaupun berusia lebih daripada 100 tahun, namun ia mempunyai keunikan tersendiri termasuk dibina menggunakan kaedah pasak tanpa paku.
“Rumah Melayu lama atau rumah tradisional ini cantik jika dilihat berkali-kali, dan serinya itu tidak terdapat pada mana-mana rumah moden pada masa kini.

“Daripada segi ukiran, cara binaan, dan bagaimana ia boleh kekal bertahan walaupun puluhan tahun, itu yang membuatkan rumah tradisional ini unik.
“Berbeza dengan struktur bangunan atau rumah pada zaman sekarang yang mana ia tidak mempunyai nilai seni seperti itu,” katanya lagi.
Proses yang memerlukan penelitian
Mengulas tentang proses penghasilan sesebuah rumah tradisional miniatur, Saari memberitahu, dia akan menjelajah ke kawasan kampung seperti di sekitar Kuala Kangsar, Parit, Kampung Gajah dan Manong bagi mendapatkan ilham atau gambaran sebenar.
“Saya akan pergi tengok sendiri sesebuah rumah itu dan akan ambil gambar di setiap sudut rumah berkenaan.
“Sementara daripada sudut penghasilan, ia mempunyai skala tertentu tanpa mengabaikan atau mengubah struktur binaan asal rumah berkenaan,” jelasnya.

Saari berkata, setiap rumah miniatur memerlukan masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitan ukiran dan saiz model.
Menggunakan kayu daripada pokok medang, dia berkata, harga model rumah tradisional miniatur pula berbeza-berbeza mengikut saiz, yang bermula sekitar RM500 sehingga mencecah lebih RM4,000.

“Saya kerap membawa dan menjual hasil karya ini pada pelbagai acara bagi dalam negeri mahupun sehingga ke Kuala Lumpur. Dan kalau bawa ke Kuala Lumpur, dapat jual satu pun sudah cukup.
“Mana-mana karya yang tidak terjual, saya bawa pulang ke Ipoh untuk jualan di galeri. Dan di galeri ini, saya lebih tumpukan kepada jualan dan tempahan termasuk tempahan daripada agensi atau jabatan-jabatan kerajaan,” katanya lagi.
Tambah Saari, selain daripada rumah tradisional Perak, dia juga ada menerima tempahan bagi menghasilkan rumah tradisional dari negeri lain seperti dari Negeri Sembilan dan Melaka.
Cabaran mencari pewaris muda
Saari berkata, meskipun anak-anaknya ada berkongsi minat dalam dunia seni, namun dia mengakui bilangan generasi muda yang mahu meneruskan legasinya sebagai tukang sini rumah miniatur masih kurang ketika ini.
Selain itu katanya, walaupun penghasilan rumah itu mempunyai permintaan yang baik di pasaran, proses yang rumit dan memerlukan ketelitian menjadi antara faktor yang menyebabkan hal itu berlaku.

“Seni pertukangan khususnya yang melibatkan kepada seni rumah tradisional ini memerlukan kesabaran, ketelitian dan minat mendalam terhadap budaya.
“Penghasilannya perlu ambil masa berbulan-bulan, baru ia nampak hasil. Oleh itu, kalau tak ada jiwa, ia tak akan menjadi. Jika buat semata-mata hendak menjual sahaja pun tak akan menjadi,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Saari berkata, dia masih berharap agar ada dalam kalangan anak muda ketika ini tidak terus mengabaikan seni penghasilan rumah tradisional Melayu.

“Penting untuk kita kekalkan warisan budaya kita ini kerana ia adalah asas identiti bangsa. Kita harus ambil berat kepada asal usul budaya kita.
“Jangan sampai suatu hari nanti semua rumah hanya tinggal ‘rumah batu’ sahaja, sementara rumah tradisional kita terus lenyap,” tambahnya.
Di usia emas, Saari masih tekun mengukir, memotong dan memasang kepingan kayu kecil bagi menjadi sebuah rumah tradisional yang sarat dengan kehalusan seni.
Meskipun ia dilihat kecil, namun apa yang diusahakannya membawa makna besar dalam mendokumentasikan nilai budaya dan negeri agar ia terus mekar tidak ditelan zaman. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warisan tradisional berdiri utuh biar pun menjangkau 100 tahun


