SUBANG JAYA – Selepas 36 tahun, akhirnya empat filem terbitan syarikat produksi seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad, 82, akan dikembalikan kepadanya dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, syarikat yang dipercayai memiliki salinan keempat-empat filem berkenaan bersetuju untuk menyerahkannya kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tujuan pemulihan.
“Tujuan lawatan kita pada hari ini adalah untuk membawa berita gembira kepada Datuk Sarimah, kerana Kementerian Komunikasi dan FINAS telah membantu beliau dapatkan semula empat buah filem yang sebelum ini diambil di bawah satu perjanjian bagi tujuan tayangan pada tahun 1988.
“Ini membolehkan salinan filem tersebut diserah kembali kepada Datuk Sarimah pada masa yang akan datang, ini sebahagian usaha memulihkan warisan seni negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menziarah seniwati tersebut di kediamannya di Subang Jaya, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifudin Mutalib dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.
Ziarah berkenaan di bawah program Ziarah Seni Madani FINAS Sempena Bulan Ramadan dan Hari Wanita.
Sebelum ini, Sarimah menggesa seorang penerbit terkenal mengembalikan pita asal empat filem miliknya iaitu Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengahari yang diambil sejak 36 tahun lalu.
Dalam masa yang sama, Nie Ching memaklumkan pihaknya, FINAS dan syarikat yang memiliki salinan filemnya berbesar hati menyumbangkan sedikit bantuan kepada seniwati tersebut.
Selain itu menurut beliau, program Ziarah Seni Madani tahun ini mensasarkan bantuan kepada 100 tokoh dan penggiat seni tanah air.
Sementara itu, Azmir Saifudin berkata, FINAS sedang mempertimbangkan untuk menyiarkan filem-filem milik Sarimah yang dikembalikan kepadanya di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Apa yang saya dan Datuk Fredie lakukan sebelum ini kita berjumpa dengan Media Prima untuk dapatkan maklumat tertentu untuk dapatkan siapa yang miliki salinan filem itu. Sebenarnya empat filem tersebut diserahkan menerusi perjanjian dan pihak tersebut telah menjualnya kepada pihak lain.
“Kita jumpa semua pihak akhirnya yang memiliki bahan filem tersebut bersetuju menyerahkan dan membenarkan Datuk Sarimah dibantu siarkan di RTM, kondisi dan kualiti filem tersebut perlu dilihat terlebih dahulu,” jelasnya. – MalaysiaGazette