LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di sini menemukan empat lagi mayat hari ini.
Penemuan itu menjadikan 16 mangsa yang maut telah ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat negara ini setakat ini, sementara seorang mangsa masih hidup turut ditemukan di kawasan pantai pulau peranginan berkenaan, menjadikan jumlah mangsa yang selamat sebanyak 14 orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi yang disambung semula pada 7.30 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian dengan keluasan 272.78 batu nautika persegi.
“Penemuan pertama membabitkan mayat seorang lelaki yang ditemukan oleh orang awam berhampiran Pulau Beras Basah kira-kira 10.40 pagi. Bot BENTENG 7 terus ke lokasi dan mayat dibawa ke Jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Selepas itu, KM SIANGIN menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki terapung di perairan Tanjung Chincin yang kemudiannya diserahkan kepada bot PERKASA 1226 dan dibawa ke Jeti Teluk Ewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selang beberapa minit kemudian, KM SIANGIN turut menemukan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti di lokasi sama, mayat berkenaan diserahkan kepada bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk dibawa ke Jeti Teluk Ewa.
“Pada 11.20 pagi, bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaporkan menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki di kawasan Tanjung Belua dan mayat telah diserahkan kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Romli berkata Maritim Malaysia bersama semua agensi yang terlibat kekal komited dalam usaha mengesan mangsa lain yang masih belum ditemukan.
“Walaupun keadaan laut bergelora dan keluasan pencarian menjadi cabaran utama, operasi diteruskan dengan mengutamakan aspek keselamatan serta ketepatan pencarian. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand yang turut melakukan operasi mencari dan menyelamat di perairan negara itu setakat ini menemukan sembilan mayat.
— BERNAMA


