IPOH – Seramai 210 mangsa daripada 68 buah keluarga dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat pada Jumaat.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, keempat-empat PPS berkenaan dibuka antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam tadi.
Katanya, kesemua mangsa merupakan penduduk di enam buah taman perumahan dan enam buah kampung yang terjejas di daerah berkenaan.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang merekodkan pemindahan mangsa paling ramai iaitu 114 orang daripada 37 keluarga dari Taman Mawar, Taman Simpang Makmur, Taman Indah, Taman Kota Jaya dan Kampung Jelapang Jaya.
“Seramai 31 mangsa dari Taman Pengkalan Makmur, Taman Pengkalan Setia dan Kampung Sentosa ditempatkan di Dewan Serbaguna Taman Kaya, Taiping , manakal 19 mangsa yang ditempatkan di SK Matang merupakan penduduk dari Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, seramai 46 mangsa daripada Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, aras air di Sungai Plus di Kampung Lintang berada pada tahap waspada.
“Aras air di sungai berkenaan merekodkan bacaan 54.06 meter berbanding paras normal iaitu 52 meter,” ujarnya. -MG Perak