IPOH – Enam individu berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki dihempap dua pokok tumbang dalam kejadian di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 4.47 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu.
“Setibanya di lokasi didapati dua pokok telah menghempap tiga buah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki berusia 50-an; Proton Persona dinaiki empat wanita berusia 20-an dan Volkswagen Passat yang dinaiki lelaki berusia 50-an.
“Kesemua mangsa terperangkap dalam kereta masing-masing kerana dahan dan ranting kayu telah menghalang mereka untuk keluar dari kenderaan.
“Bagaimanapun, kesemua enam mangsa yang berada di dalam ketiga-tiga kenderaan tersebut selamat dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, setakat jam 6 petang tadi kerja pemotongan pokok masih dijalankan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Satu PPS dibuka susulan kejadian ribut, pokok tumbang di Taiping


