IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyalurkan peruntukan berjumlah RM185,000 kepada dua pertubuhan dan empat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Baru Cina bagi tujuan pembangunan setempat tahun ini.
Pertubuhan dan JPKK yang menerima peruntukan itu ialah Persatuan Rimba Kuala Sepetang Taiping yang menerima RM30,000; Pertubuhan Kebudayaan Dan Kesenian Timur Pangkor (RM50,000); JPKK Liman Kati (RM15,000); JPKK Matang (RM30,000); JPKK Bercham (RM30,000) serta JPKK Menglembu (RM30,000)
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, peruntukan itu disalurkan melalui geran Program Pemerkasaan Kampung Baru Cina yang melibatkan 20 permohonan tahun ini.
Katanya, dana tersebut merangkumi pelbagai tujuan seperti penganjuran festival kebudayaan, acara larian, projek lukisan mural dan lain-lain inisiatif pembangunan komuniti.
“Melalui inisiatif ini, kita mahu menggalakkan golongan muda untuk kembali ke kampung serta menjana ekonomi setempat.
“Justeru, kita perlu memupuk penyertaan rakyat di peringkat akar umbi, khususnya generasi muda, dalam membangunkan Kampung Baru.
“Kita juga harus memberi ruang kepada idea-idea kreatif dan inovasi penduduk tempatan bagi memacu pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemerkasaan Kampung Baru Cina 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, antara kriteria kelulusan permohonan termasuk kebolehlaksanaan projek, impak sosial, kelestarian dan keupayaan integrasi sumber.
Ujar Kah Leong, program itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memelihara keunikan budaya serta memacu sektor pelancongan di Kampung Baru seluruh Perak.
“Sebagai Exco yang bertanggungjawab dalam soal Kampung Baru Cina, saya telah menggerakkan usaha ini walaupun dana yang disalurkan tidak terlalu besar berbanding kampung tradisional di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Namun, kerajaan negeri sentiasa komited membantu pembangunan kampung semua kaum, sama ada kampung tradisional Melayu, kampung India, mahupun perkampungan Orang Asli, tanpa mengira latar belakang politik,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: