SUNGAI SIPUT – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mewujudkan enam studio siaran langsung di seluruh negara sebagai usaha membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memasarkan produk mereka secara dalam talian, pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dengan kerjasama TikTok Malaysia itu akan melibatkan pembukaan studio pertama di Penampang, Sabah.
“Untuk fasa pertama ini, pembukaan studio siaran langsung berkenaan akan bermula di Sabah pada Februari depan, sebelum akan diperluaskan satu studio di Sarawak, dan empat di Semenanjung.
“Saya telah menerima kunjungan daripada pengendali media sosial TikTok Malaysia baru-baru ini, dan mereka memaklumkan bersedia untuk menambah bilangan studio berkenaan pada masa hadapan berdasarkan kepada keperluan serta penilaian semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Majlis Perasmian Pejabat TEKUN Cawangan Sungai Siput, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed; Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Beliau sebelum itu diminta mengulas kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bahawa banyak perusahaan PMKS di negara ini masih belum bersedia dengan penggunaan teknologi digital.
Mengulas lanjut Ewon berkata, elemen digitalisasi sememangnya menjadi fokus utama KUSKOP dan kesemua agensi di bawahnya termasuk TEKUN Nasional dalam sama-sama mengangkat gerakan koperasi serta keusahawanan dalam negara.
Justeru beliau berharap, inisiatif studio siaran langsung yang digerakkan itu kelak akan dimanfaatkan dengan baik terutama kepada usahawan setempat untuk mereka membangunkan perusahaan masing-masing.
“Di peringkat kementerian khusus melalui agensi-agensi, kita sentiasa mendengar sebarang keperluan rakyat dan mencari idea baru yang sesuai untuk memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada (yang akan memberi manfaat kepada usahawan),” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain Ewon memberitahu, TEKUN Nasional berjaya mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) daripada 10 peratus kepada sembilan peratus ketika ini.
Tanpa memperincikan lebih lanjut beliau berkata, ia adalah usaha semua iaitu antara TEKUN Nasional dengan peminjam dalam memastikan kadar berkenaan dapat terus dikurangkan.
“Kita dapat kurangkan kadar NPL daripada dua digit kepada satu digit. Dan ini adalah komitmen dan kesafahaman yang dijalinkan bersama para usahawan yang membuat pinjaman,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: