IPOH – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching membuat laporan polis susulan dakwaan yang dilemparkan seorang pengguna Facebook terhadap Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung isu pengurusan anjing jalanan.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini sekitar jam 12 tengah hari pada Sabtu.
Selain itu, beliau turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat selepas individu terbabit memuat naik kenyataan di Facebook yang menuduh kerajaan negeri serta MBI melakukan tindakan kejam terhadap anjing jalanan.
“Kenyataan dimuat naik itu turut menggunakan ungkapan ekstrem seperti ‘tangan berlumuran darah’ dan ‘tanam hidup-hidup’ bagi menggambarkan dasar kerajaan yang disifatkan sebagai tidak benar serta tidak berasas.
“Saya memandang serius penyebaran maklumat tidak benar serta tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap kerajaan, penjawat awam dan Friends of Pawsitive (FOP) selaku rakan strategik dalam pengurusan haiwan terbiar.
“Penggunaan bahasa yang bersifat ekstrem dan menghasut emosi bukan sahaja memutarbelitkan fakta, malah berpotensi menimbulkan ketakutan, kemarahan serta kebencian dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai membuat laporan polis di IPD Ipoh yang turut dihadiri wakil Unit Undang-Undang MBI di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Sandrea berkata, kenyataan itu turut menggunakan gambar serta namanya secara tidak tepat bagi membina naratif yang mengelirukan dan tidak benar.
“Dakwaan yang disebarkan itu telah melampaui batas kerana mengandungi unsur kebencian, fakta yang mengelirukan serta tuduhan serius yang tidak berasaskan realiti.
“Perkara itu juga tidak adil kepada penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang telah banyak mencurahkan usaha dalam menguruskan isu haiwan terbiar di negeri ini.
“Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan aduan kepada SKMM bagi tujuan keselamatan diri serta supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan jika didapati menyebarkan maklumat tidak benar, unsur fitnah atau melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.
Difahamkan, individu sama telah memuat naik hantaran berhubung isu tersebut berulang kali sejak tahun lalu di Facebook termasuk hantaran terbaharu yang dimuat naik kelmarin. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
1,008 haiwan dimandulkan, kerajaan negeri tingkat peruntukan Perak Pawsitive Initiative


