BERMULA dari sifar. Itulah hakikat yang perlu dihadapi Mohamad Ezzuan Hariff Agus Shariff, 34, ketika mula-mula ingin mengusahakan perniagaan makanan Cina autentik halal selepas pulang daripada Australia pada 2021.
Anak jati Ipoh ini tidak hanya pulang ke Malaysia dengan niat berbakti, tetapi juga membawa pulang semangat dan tekad untuk membina sesuatu yang bermakna dari bawah.
Tanpa sebarang jaminan kejayaan, beliau memilih jalan penuh cabaran dengan memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan yang akhirnya berkembang menjadi sebuah restoran dikenali sebagai Restoran Oppa Zuzu yang terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh.
Mula berniaga kecil-kecilan di Nilai
Segalanya bermula apabila Mohamad Ezzuan membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia selepas tamat belajar dan bekerja di Melbourne, Australia selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.
Beliau meninggalkan negara tersebut dan kembali ke kampung halaman di Ipoh bagi menjaga ibunya yang mengalami masalah kesihatan.
Mohamad Ezzuan berkata, beliau tidak mudah patah semangat dan melakukan pelbagai kerja mengumpul modal untuk merealisasikan impiannya bagi membuka perniagaan makanan sendiri.
“Saya memulakan perniagaan daripada ‘kosong’ dan restoran ini mula beroperasi pada Ogos tahun lalu. Sebelum ini, kami pernah membuka warung di Nilai, Negeri Sembilan yang diberi nama Oppa Zuzu Kitchen pada 2022.
“Selepas beberapa bulan berniaga di Nilai, saya pulang ke Ipoh kerana mahu mendekatkan diri dengan keluarga dan dari situ, saya mula berniaga di Ipoh Night Market selama setahun setengah sebelum membuat keputusan untuk membuka kedai sendiri.
“Banyak kelebihan bila buka kedai sendiri, antaranya masa unlimited (tiada had) serta pelanggan boleh menikmati makanan dan minuman dengan suasana lebih selesa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Nasi ayam claypot dapur arang jadi ‘taruhan’
Menyedari pasaran makanan Melayu yang sangat kompetitif, Mohamad Ezzuan tampil dengan hidangan Cina Muslim autentik dan berbeza iaitu nasi ayam claypot yang dimasak menggunakan dapur arang.
Berdarah campuran Melayu dan Cina, beliau telah mempelajari resipi masakan Cina sewaktu bekerja di Australia.
“Ketika berada di Australia, saya banyak bergaul dengan orang Hong Kong, Taiwan, China dan saya dapat banyak resipi daripada mereka.
“Bila saya fikir nak buka sesuatu dekat Malaysia, saya perlukan kelainan dan tidak boleh buat benda sama seperti masakan Melayu seperti nasi berlauk yang mempunyai saingan kuat.
“Akhirnya, saya mencipta kelainan dengan memulakan perniagaan menjual masakan Cina autentik halal,” ujarnya.
Katanya, berbeza dengan versi biasa di pusat beli-belah yang menggunakan dapur gas, nasi ayam claypot di restorannya dimasak menggunakan dapur arang.
“Kesemua bahan-bahan seperti beras, ayam mentah, minyak bijan serta beberapa bahan lain dimasukkan ke dalam periuk tanah dan proses masakan ini mengambil masa sehingga 20 minit bagi mencapai rasa berasap dan tekstur yang sempurna.
“Kami meletakkan bahan-bahan seperti sosej ayam halal dan ikan masin untuk mengekalkan identiti sebenar nasi ayam claypot seperti masakan asli Cina,” jelasnya.
Perkenal beberapa menu baharu
Beliau berkata, selain nasi ayam claypot yang menjadi menu utama, char kuetiau juga antaranya hidangan yang sering mendapat sambutan pelanggan.
“Menu char kuetiau antara yang cukup terkenal sejak saya meniaga di Nilai hingga sekarang.
“Alhamdulillah, sambutan memang tak putus-putus. Masa bulan puasa pun, dekat bazar Ramadan, itu (char kuetiau) yang paling banyak terjual.
“Terbaru, kami menyediakan menu yee mee dan mi segera dengan pilihan kuah sup atau tom yam yang dimasak dalam claypot. InshaAllah, rasanya berbeza dan portion pun besar.
“Selain itu, kami turut menjual pelbagai jenis sate antaranya sate ayam, daging batang pinang, daging dan perut,“ katanya.
Mohamad Ezzuan berkata, harga bagi nasi ayam claypot bermula daripada RM13 dan makanan serta minuman di restoran tersebut dijual dengan harga yang berpatutan.
Rancang buka restoran di Pulau Pinang, Kuala Lumpur
Ujar beliau, Restoran Opah Zuzu merancang untuk melebarkan sayap ke Pulau Pinang menjelang Disember ini.
“Ramai pelanggan Muslim di sana teringin mencuba masakan Cina yang autentik tetapi sukar mendapat versi yang benar-benar halal. Jika berjaya, saya mungkin menjadi perintis dalam memperkenalkan konsep ini di sana,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa menembusi pasaran Pulau Pinang bukan sesuatu yang mudah memandangkan cabaran untuk mendapatkan lokasi sesuai dan pekerja yang boleh dipercayai.
Tambahnya, jika operasi di Pulau Pinang berjalan lancar, beliau menyasarkan untuk membuka cawangan seterusnya di Kuala Lumpur.
Restoran Oppa Zuzu beroperasi setiap hari pada jam 1 petang hingga 11 malam kecuali Jumaat dibuka jam 3 petang hingga 12 tengah malam.
Pada hari Sabtu, Ahad serta cuti am, restoran ini beroperasi mulai jam 1 petang hingga 12 malam dan ditutup setiap Rabu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: