KUALA LUMPUR – Laman rasmi media sosial parti DAP yang baru selepas mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) diceroboh.
Menurut pentadbir laman sosial terbabit, Facebook dan Instragram parti itu telah dimuat naik dengan foto yang menjelekkan.
“Pagi ini kira-kira jam 11 pagi, kami dimaklumkan tentang imej yang tidak sesuai yang dimuat naik ke Facebook dan Insta Story kami.
“Pasukan HQ kami sedang berusaha untuk mengalih keluar semua imej ini, menukar kata laluan akaun yang dipautkan dan mengehadkan akses halaman.
“Harap maklum bahawa sebarang aktiviti mencurigakan yang mungkin datang dari akaun rasmi kami tidak menggambarkan parti dan merupakan akibat daripada serangan siber. Terima kasih,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pemilihan semalam menyaksikan Anthony Loke dipilih semula sebagai Setiausaha Agung DAP selepas terpilih ke CEC DAP.
Manakala Gobind Singh Deo, yang memperoleh undi tertinggi menggantikan tempat Lim Guan Eng sebagai Pengerusi DAP manakala Ahli Parlimen Bagan itu diberikan jawatan sebagai Penasihat DAP.
Nama-nama besar seperti Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, gagal menempatkan diri dalam senarai 30 ahli CEC.
Teresa yang menyandang jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP sebelum ini, hanya memperoleh 1,331 undi daripada perwakilan DAP kali ini.
Turut tidak tersenarai ialah penyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yang mendapat 1,542 undi.
Begitu juga adik kepada Lim Guan Eng, Lim Hui Yin yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan; Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui; Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau; Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen; dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.-MalaysiaGazette