Felcra umum Agihan Akhir Keuntungan P&P 302.9 juta

BAGAN DATUK – FELCRA Berhad mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berjumlah RM302, 912,987 melibatkan 71,680 peserta di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan agihan keuntungan 2025 melebihi RMRM632 juta yang merangkumi agihan interim, agihan bulanan dan agihan akhir kepada peserta.

“Lebih membanggakan, pencapaian tahun 2025 ini merupakan prestasi yang terbaik dalam 15 tahun dan kedua terbaik dalam sejarah 60 tahun penubuhan FELCRA bermula pada tahun 1966.

“Kejayaan ini menjadi lebih signifikan kerana ia dicapai ketika FELCRA menyambut ulang Jubli Intan, mencerminkan kematangan organisasi serta keupayaan berterusan syarikat dalam memperkasa ekonomi luar bandar,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir ke Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diadakan di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid.

Tambah Ahmad Zahid, prestasi kukuh ini didorong peningkatan harga komoditi dan pengukuhan produktiviti ladang khususnya kelapa sawit dengan purata harga Buah Tandan Segar (BTS) kelapa sawit meningkat daripada RM4,182.27 pada tahun 2024 kepada RM4,283.33 pada tahun 2025.

Sementara itu, Mohamed Ismi menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi komitmen seluruh warga FELCRA dalam memastikan kecekapan operasi dan disiplin tadbir urus terus diperkasakan.

Beliau berkata. pencapaian ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja antara yang terbaik dalam sejarah FELCRA sejak ditubuhkan, malah diraikan ketika FELCRA menyambut Jubli Intan sempena ulangtahun ke-60 penubuhannya.

Menurut beliau, asas pengurusan yang kukuh, pemantauan kos yang berdisiplin serta tumpuan terhadap peningkatan produktiviti membolehkan FELCRA menjana pulangan yang mampan kepada peserta walaupun dalam suasana pasaran komoditi yang mencabar. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI