KUALA BERANG – FELCRA Berhad terus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu kesejahteraan masyarakat luar bandar dengan pengumuman kenaikan agihan keuntungan akhir bagi tahun 2024 sebanyak 154% atau RM116 juta lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Pengumuman ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Menurut Ahmad Zahid, ini sekali gus memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta yang terbabit menerusi 583 projek untung.
Beliau menjelaskan agihan bahawa ini adalah sebahagian daripada RM521.9 juta jumlah Keuntungan Boleh Agih Tahun 2024 yang telah disalurkan FELCRA dalam beberapa fasa kepada peserta.
“Secara purata, pendapatan bersih peserta FELCRA kini meningkat kepada RM4,420 per hektar setahun, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi mereka.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Bayaran Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 melalui projek peserta FELCRA berjumlah RM192.51 juta, yang akan mula dibayar secara berperingkat oleh pihak pengurusan FELCRA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW dan FELCRA di sini, yang turut dihadiri oleh lebih 2,500 hadirin, termasuk Pengerusi FELCRA Berhad, Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub, serta Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad (CEO), Dato’ Idris Lasim.
MalaysiaGazette difahamkan bahawa peningkatan ketara ini didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit di bawah Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P) sebanyak 9.24% atau 1.44 metrik tan per hektar.
Selain itu, strategi pengurangan kos pengeluaran yang lebih berkesan telah menjimatkan lebih RM401 per hektar, sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan mendedahkan bahawa kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan strategi pengurusan ladang yang lebih sistematik, malah mencerminkan komitmen FELCRA dalam memastikan peserta menerima pulangan maksimum.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum sebanyak RM150 setiap ekar setiap bulan atau RM1,800 setiap ekar setahun. Ini bukan sekadar janji, tetapi jaminan kesejahteraan kepada peserta FELCRA,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa pengumuman agihan keuntungan ini membawa kegembiraan berganda kepada peserta FELCRA menjelang Aidilfitri, sekali gus membolehkan mereka membuat persiapan perayaan dengan lebih selesa.
“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berperanan dalam pembangunan luar bandar, FELCRA kekal komited untuk meningkatkan produktiviti ladang, menambah nilai kepada peserta, serta menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa sektor luar bandar.
Foto AIZAT ZAINAL, 8 MAC 2025.
“Dengan sokongan padu daripada KKDW dan pendekatan strategik yang lebih mampan, FELCRA optimis dalam mencapai sasaran yang lebih tinggi pada masa akan datang bagi memastikan manfaat yang lebih besar kepada peserta dan komuniti luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Idris Lasim pula menegaskan bahawa FELCRA terus mengukuhkan peranannya dalam memastikan peserta bukan sahaja menikmati pulangan yang stabil, malah mendapat manfaat dari segi kebajikan dan pembangunan jangka panjang.
“Peserta adalah nadi FELCRA. Kepercayaan yang tinggi kepada FELCRA untuk menguruskan ladang mereka sebaiknya membolehkan semua perancangan dapat dilaksanakan tanpa halangan, hubungan baik dengan peserta, kejayaan FELCRA tidak mungkin dapat dicapai.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting mereka, FELCRA sentiasa memastikan kebajikan dan kepentingan peserta menjadi keutamaan. Kami komited dalam memastikan agihan keuntungan yang konsisten agar setiap peserta mendapat pulangan yang stabil dan berterusan.
“Kami bukan sahaja mahu peserta menerima keuntungan daripada hasil ladang, tetapi juga menikmati kehidupan yang lebih baik. Oleh itu, kami melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka termasuk menyediakan kemudahan asas seperti jalan ladang, bekalan air, serta sokongan logistik yang memudahkan mereka menguruskan ladang dengan lebih efisien,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa FELCRA kini sedang merangka pelbagai strategi bagi memastikan peserta menerima pulangan yang lebih tinggi dalam jangka panjang termasuk mempertingkatkan produktiviti ladang melalui pengenalan teknik pertanian moden, penggunaan baja berkualiti tinggi dan pengurusan ladang yang lebih cekap untuk meningkatkan hasil serta mengurangkan kos operasi.
“Kami mahu memastikan setiap hektar tanah yang diusahakan memberikan hasil yang terbaik kepada peserta. Oleh itu, kami sentiasa mencari kaedah baharu untuk meningkatkan produktiviti dan pada masa yang sama mengawal kos operasi supaya keuntungan yang diagihkan kepada peserta semakin meningkat,” katanya.
Selain sektor perladangan, FELCRA turut meneroka peluang dalam sektor lain seperti penternakan, agro-pelancongan, dan pemprosesan hiliran bagi menambah sumber pendapatan peserta. Usaha ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada hasil ladang utama seperti kelapa sawit dan getah.
Salah seorang peserta FELCRA dalam kalangan Orang Asli, Basiron Tuek dari kawasan Ayer Hitam, menyatakan bahawa beliau amat teruja kerana dapat menguruskan ladangnya sendiri dengan bantuan FELCRA tanpa perlu bergantung kepada pihak luar.
“Kerja ladang ini susah, tetapi dengan perpaduan dan kerjasama, kami tidak bersendirian dalam membangunkannya. Bila bekerja sendirian memang sukar, tetapi dengan bantuan FELCRA, semuanya menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi peserta FELCRA yang juga penerima dividen tertinggi bagi kategori individu sebanyak RM30,170.27, Zaharan Zainal Abidin, menyatakan bahawa bayaran yang diterimanya sangat membantu dalam menampung keperluan keluarganya.
“Arwah ayah meninggalkan ladang ini kepada saya sebagai legasi, dan bayaran keuntungan ini sangat berbaloi untuk segala usaha yang telah kami lakukan bersama FELCRA.
“FELCRA pula sentiasa membuat pembayaran pada masa yang tepat, contohnya pada awal tahun ketika anak-anak memulakan persekolahan, dan sekali lagi menjelang perayaan Aidilfitri.
“Ini amat bermakna kerana ia datang ketika kami benar-benar memerlukannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette