CAMERON HIGHLANDS – Fenomena La Nina yang diramalkan berlaku pada awal musim sejuk 2025/2026 mencetuskan kebimbangan penduduk di sekitar daerah ini terhadap kemungkinan berlakunya tanah runtuh dan banjir lumpur.
Berikutan itu, Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) menggesa supaya projek pembangunan berimpak tinggi di sini ditangguhkan bagi mengelakkan perkara itu berlaku.
Presidennya, A Dilip Martin berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan jumlah taburan hujan akan lebih tinggi berbanding biasa serta boleh menjejaskan persekitaran yang berisiko tinggi.
“Kami memohon supaya kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands supaya menghentikan sementara projek penolakan tanah yang diluluskan.
“Kalau hujan turun 24 jam tanpa henti kawasan yang sedang melakukan penolakan (tanah), berkemungkinan akan berlaku banjir lumpur,” katanya kepada media ketika ditemui di sini.
Dalam perkembangan sama, Dilip mendakwa, hasil pemantauan REACH mendapati terdapat tiga projek berimpak tinggi melibatkan pertanian dan perumahan yang sedang dibangunkan di Ringlet, Tringkap dan Sungai Mensun.
“Walaupun projek-projek tersebut mendapat kelulusan daripada agensi kerajaan, ia masih memerlukan penelitian mendalam supaya selari dengan Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 yang jelas tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan berisiko tinggi.
“Hampir setiap tahun kita berdepan musim monsun yang membawa risiko pokok tumbang, tanah runtuh dan banjir.
“Cameron Highlands sebagai kawasan tanah tinggi perlu lebih bersedia kerana impaknya lebih serius, jadi kerajaan perlu memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat berbanding kepentingan pemaju,” ujarnya.
Sebelum ini, Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, tinjauan cuaca jangka panjang September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kini neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Dahulu kena pakai baju tebal ke Cameron Highlands, kini kemeja-T sahaja’