Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah sasar 10,000 pengunjung

IPOH – Kawasan Pasir Salak dan Perak Tengah bakal meriah dengan penganjuran Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 dengan sasaran menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, festival yang berlangsung bermula 18 Oktober hingga 30 November depan itu akan diadakan di beberapa lokasi terpilih dengan Kompleks Institut Agro dan Keusahawanan (iGROW) menjadi lokasi acara utama.

Katanya, penganjuran festival itu juga merupakan antara usaha komuniti tempatan dalam mengembalikan kegemilangan durian di Kampung Gajah yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai antara pengeluar durian terbaik di negara ini.

Menurut beliau, berbeza dengan acara-acara sebelum ini, festival kali ini cuba mengetengahkan durian tempatan sebagai produk berkualiti tinggi yang berpotensi menembusi pasaran global selaras dengan konsep penganjuran iaitu ‘Durian Kampung Gajah Diantarabangsakan’.

“Satu masa dahulu, Kampung Gajah dan Perak Tengah sangat dikenali dengan penghasilan buah durian berkualiti seperti varieti Durian Kunyit, Durian Kucing Tidur dan Durian Paduka.

“Namun, dengan kemunculan pelbagai jenama baharu seperti Musang King, kita perlu mengembalikan semula jenama durian tempatan agar tidak terus tenggelam,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Rumah Media Perak, dekat sini, baru-baru ini.

Nordin berkata, pelbagai aktiviti pelancongan, pertanian, kebudayaan dan pendidikan disusun sepanjang enam minggu penganjuran Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025.

Kata beliau, antara pengisian utama termasuk majlis makan durian, program pertukaran ilmu pertanian durian Malaysia–Thailand, pameran agro dan kraf tangan, pertandingan memasak serta aktiviti rekreasi seperti kayuhan basikal durian dan jalan kaki santai di kebun durian.

Tambah beliau lagi, selain pelbagai siri kursus, turut akan diadakan acara lain seperti pertandingan memancing, sukaneka bertemakan durian, jualan durian, dan sebagainya.

“Kita mahu festival ini bukan sekadar pesta makan durian, tetapi wadah menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi tema ‘Durian Menyatukan Kita’.

“Di samping itu, kita juga mahu meningkatkan pendapatan dan peluang komuniti tempatan melalui perniagaan, agropelancongan, inovasi makanan dan minuman, serta produk kraf berasaskan raja buah itu,” jelasnya.

Tambah Nordin, festival itu juga dilihat sebagai usaha menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di peringkat setempat susulan penyertaan pelajar antarabangsa, wakil kerajaan serantau serta petugas media ASEAN.

“Program ini berpotensi besar dalam menjana ekonomi, memupuk semangat perpaduan masyarakat serta mengangkat martabat produk tempatan ke peringkat global.

“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin festival ini akan menjadi acara berprestij dan mampu mencipta impak besar kepada komuniti tempatan dan negara,” ujar beliau. – MG Perak

 

Arikel Berkaitan:

Pattani nyata hasrat jalin kerjasama hasil durian ASEAN

‘Killer dish’ cendol pulut durian, ‘mixed fruit’

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI