IPOH – Festival Seni Seramik Perak 2025 yang bakal berlangsung di Hotel Artworks, dekat sini, pada 9 hingga 12 Oktober ini disasarkan menarik sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Pengerusi Persatuan Seni Seramik Perak (PERSERA), Mohd Shukri Hashim berkata, festival itu bukan sahaja menghimpunkan pengkarya seni seramik tempatan, malah membuka ruang kolaborasi bersama penggiat seni antarabangsa dari Indonesia dan China.
Katanya, ia dianjurkan sebagai mahu memupuk kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap seni warisan budaya Perak khususnya seni seramik yang semakin ditelan zaman.
“Sekurang-kurangnya 50 hasil karya seramik tempatan akan dipamerkan, di sampung turut diadakan bengkel pembuatan seramik serta beberapa sesi dialog bersama pakar, kurator dan pengkaji warisan pada sepanjang empat hari penganjuran.
“Selain itu, festival ini juga menyasarkan untuk menjana pendapatan bagi pengkarya seramik melalui jualan produk dan menghasilkan dokumentasi lengkap tentang seni seramik Perak,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Festival dianjurkan bersama PERSERA dan Artworks Hotel Sdn. Bhd. itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Perak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan sebagainya.
Menurut beliau, festival yang bertemakan ‘Warisan Mencipta Inspirasi, Membina Identiti Madani’ itu turut menempatkan 15 reruai bagi aktiviti pendidikan dan bengkel seramik yang akan membabitkan 110 peserta daripada pelbagai institusi termasuk tadika, sekolah menengah, pusat tahfiz dan warga emas.
Mohd Shukri berkata, penganjuran berkonsepkan ‘Perkampungan Seni’ itu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk merasai pengalaman secara langsung dengan seni seramik, termasuk aktiviti ‘hands-on’, demonstrasi, permainan rakyat, selain persembahan kebudayaan.
Kata beliau lagi, pada 12 Oktober, Festival Seni Seramik Perak 2025 dijadual akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di samping turut akan diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PERSERA dan UiTM
Jelas beliau, kerjasama yang akan dijalinkan itu akan memberi penumpuan kepada usaha sama dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk baharu serta perkongsian kepakaran.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Perak, Dr Mohd Khairi Baharom berkata, antara acara kemuncak pada festival berkenaan adalah Simposium Seni Seramik Perak (PECAS) 2025 yang berlangsung pada 10 dan 11 Oktober.
Kata beliau, sebanyak 30 hasil karya seni dan kertas kerja akan dibentangkan pada dua simposium, yang masing-masing membawa tema ‘Warisan Seramik Perak dalam Konteks Global dan Inovasi’ serta ‘Masa Depan Industri Seramik Tempatan’.
“Panel akan terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa yang secara umumnya akan membincangkan segala isu semasa serta masa depan industri seramik,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: