IPOH – Sebanyak 16 negara menyertai Festival Ummatic 3.0 Peringkat Antarabangsa 2024 yang diadakan di Masjid Muhammad Al-Fateh (MMAF), di Taman Jati, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja (JKK) MMAF, Mohd Dzohiri Abdul Samad berkata, program yang melibatkan tiga fasa itu diadakan sejak 25 Februari lalu sehingga 10 Mac ini.
Menurutnya, penganjuran kali ketiga acara dwi tahunan itu mengangkat tema ‘Masjid Imarah, Kariah Thoyyibah’ pada tahun ini melibatkan 170 peserta dalam kalangan mahasiswa antarabangsa dari 16 negara.
“Antara negara terlibat termasuklah Thailand, Senegal, Tanzania, Sri Lanka, Yemen, Singapura dan Turkiye dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti seminar, khidmat komuniti bersama asnaf, sukarelawan dan pelancongan Islam di sekitar Ipoh serta Kuala Kangsar.
“Selain itu, penganjuran program ini bertujuan untuk menghidupkan ataupun mengembalikan peranan masjid sebagai sebuah institusi masayrakat yang tidak hanya digunakan sebagai rumah ibadat atau untuk solat dan kuliah sahaja.
“Justeru, masjid ini cuba menjadikan sebagai pusat hentian setempat (one stop centre) untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan termasuklah dari sudut ilmu dan membangunkan generasi belia serta memajukan ekonomi, setempat” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung festival tersebut di masjid berkenaan pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Dzohiri berkata, program yang berlangsung selama lapan hari itu melibatkan 40 program dan aktiviti dilaksanakan bermula dengan pra-Ummatic, Mobilisasi Mahasiswa Antarabangsa dan Grand Finale Festival Ummatic 3.0 yang iaitu program kemuncak festival berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ubah persepsi lama masjid sekadar tempat laksana ibadah khusus