KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) membentuk kerjasama yang lebih kukuh bersama pekebun kecil yang terlibat dalam Ekonomi Sawit Pekebun (ESP) untuk mencapai misi kelestarian sawit.
Ketua Pegawai Kelestarian FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata, usaha kelestarian dalam industri itu semakin mendapat perhatian antarabangsa meskipun berhadapan cabaran dalam memenuhi standard piawaian yang ditetapkan.
“Kami akan terus memberi komitmen untuk membantu pekebun kecil memahami dan memenuhi keperluan antarabangsa yang semakin ketat, antaranya, dokumentasi dokumentasi pematuhan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Kebanyakan pekebun kecil pada awalnya sukar memahami betapa pentingnya dokumentasi seperti geran tanah dan peta yang perlu disediakan untuk memastikan buah berasal dari kawasan yang sah dan bukan kawasan terlindung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Pengenalan Media: Perjalanan Melalui Kelestarian Bersama FGV di Sungkai, Tapah, Perak, baru-baru ini.
Nurul Hasanah berkata, untuk membantu mereka lebih faham tentang peraturan ini, FGV telah mengadakan sesi perbincangan dan bengkel di seluruh negara.
Dengan pendekatan ini, para pekebun sawit lebih memahami pentingnya aspek pensijilan dan dokumentasi, secara tidak langsung membantu mereka meraih lebih banyak manfaat dalam pasaran premium.
“Pekebun yang dapat memenuhi piawaian kelestarian dapat memperoleh harga jualan yang lebih tinggi, manakala mereka yang masih belum bersedia boleh menjual hasil mereka melalui FGV ke pasaran alternatif,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan:
Pendekatan baharu untuk manfaat warga Felda bakal diumum – Ahmad Zahid