IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular, khususnya di media sosial, hingga merancakkan perpecahan dalam masyarakat.
Baginda bertitah, rakyat sering disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, memperlekehkan dan mempermainkan pihak yang tidak sefahaman dengan kumpulan tertentu sehingga membentuk budaya baharu yang bercanggah dengan adab seorang Muslim serta berlawanan dengan adat Melayu.
“Apabila hati tidak dijaga dengan ketakwaan, menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet menjadi bebas melakukan apa sahaja.
“Rasulullah SAW pernah mengingatkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Mas’ud, sabda baginda, ‘Musnahlah golongan yang melampau’,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak 1447H/2025M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Khamis.
Titah baginda lagi, tindakan melampaui batasan itu mencakupi apa sahaja perkataan dan perbuatan yang berlebihan serta keterlaluan.
“Tindak tanduk yang melampaui batasan ini diertikan apa sahaja perkataan dan perbuatan yang berlebihan dan keterlaluan.
“Sikap melampau boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat, mengetepikan nas-nas agama dan kehalusan budaya warisan bangsa.
“Akibatnya, berlakulah kerosakan, nilai-nilai murni agama diberikan tafsiran songsang, adat dipinggirkan, menyebabkan fahaman dan pegangan ummah, terutama dalam kalangan generasi muda terpesong dan songsang,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perak