IPOH – Program Belang Tarung Tiga Warna 2.0 ‘Extended Versions 2025’ akan memberi tumpuan kepada sukan melibatkan atlet wanita sebagai persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, cadangan pada acara dwi tahunan yang bakal berlangsung di Selangor itu dibangkitkan pada program pemukiman jawatankuasa bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak yang diadakan baru-baru ini.
“Pada program pemukiman jawatankuasa bersama dengan kakitangan MSN Perak, kita cadangkan untuk memberi tumpuan kepada sukan-sukan (melibatkan atlet) wanita.
“Ini kerana persaingan sukan wanita mempunyai ruang dan peluang untuk kita mendapat pingat yang agak besar, contohnya kita ada ragbi, bola sepak, futsal dan sebagainya.
“Jadi, kita akan memberi tumpuan kepada sukan kategori wanita ini sebagai salah satu elemen dalam penyediaan Kem Belang Tarung Tiga Warna 2.0 khususnya untuk persiapan SUKMA 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Pelancaran Kejohanan Bolasepak Liga Perak Sejahtera 2024/2025 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru, di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengarah MSN Perak, Mazlan Mohamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairudin memaklumkan seramai 262 atlet melibatkan 132 lelaki dan 130 wanita yang menyertai SUKMA Sarawak baru-baru ini masih layak untuk bertanding pada SUKMA Selangor 2026.
Katanya, kesemua atlet terbabit adalah teras kepada persiapan dan pemilihan atlet kem berkenaan dan fokus akan diberikan kepada beberapa sukan yang sememangnya bilangan atlet masih layak.
“Contohnya akuatik, ada renang dan terjun kita ada 18 atlet yang masih boleh bertanding untuk SUKMA Selangor, begitu juga memanah (15), menembak (10), olahraga (20), kemudian sukan kombat contoh taekwondo kita ada 15 atlet, karate (sembilan) dan silat (15),” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini MSN Selangor belum lagi memutuskan berapa jumlah sukan tertentu untuk dipertandingkan pada SUKMA akan datang.
Tambahnya, ini kerana dalam klausa Majlis Sukan Negara terdapat sukan wajib dan sukan pilihan.
“Sukan wajib mempunyai 28 jenis sukan dan sudah pasti Kem Belang Tarung Tiga Warna 2.0 MSN Perak akan memberi fokus kepada 28 sukan utama tersebut kerana acara itu sudah pasti dipertandingkan di peringkat SUKMA,” ujarnya.
Pada Belanjawan Perak 2025 yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan negeri menerusi MSN Perak akan meneruskan Program elang Tarung Tiga Warna 2.0 ‘Extended Versions 2025’ dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Khairudin turut memaklumkan beberapa pendekatan dan perancangan diatur bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan program tersebut.
Pada masa sama, MSN Perak juga telah mula giat membuat persiapan menuju SUKMA 2026 di Selangor. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RM500,000 bagi program Belang Tarung Tiga Warna – Extended Versions 2.0