Fokus pembangunan negara bukan tumpu isu perkauman – Anwar

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan isu remeh termasuk soal perkauman yang akan mengganggu kemajuan negara seperti kritikan terhadap video pelancongan Malaysia 2026 yang didakwa tidak memaparkan masjid.

Sebaliknya Anwar menegaskan, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan untuk mengangkat Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini termasuk menjaga kerjasama antarabangsa dengan negara besar seperti China, Amerika Syarikat serta Thailand.

Jelas beliau, Malaysia kini mendapat pengiktirafan global apabila pemimpin dunia dari Jepun, Singapura, Indonesia serta Thailand mengadakan lawatan serta persidangan penting baru-baru ini.

“Jadi jangan bergaduh mempertahankan penyelewengan, pertahankan pemborosan, memainkan isu perkauman dan mempertahankan rasuah besar.

“Ini semua tidak akan membantu negara kita. Kita nak rakyat tumpu kepada hal yang besar bukan tumpu soal video pelancongan yang tidak nampak gambar masjid sehingga menjadi pertarungan hebat.

“Kalau ya pun, bagi cadangan, kita baiki tapi jangan bawa isu ini untuk meretakkan hubungan antara satu sama lain dengan main sentimen kaum, kebencian satu sama lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menyeru penjawat awam dan pemimpin negeri memberikan tumpuan sepenuhnya dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ingat negara boleh fokus kepada projek-projek besar seperti hab tenaga baharu di Sarawak, projek tebatan banjir di Kelantan? Wujudkan zon ekonomi antara Johor-Singapura.. jadi pentingnya tumpuan pada hal-hal yang lebih besar demi kemajuan negara dan bukan isu-isu kecil yang hanya merugikan negara.

“Walaupun hari ini kita bercakap isu LRT tetapi kita tidak boleh lari daripada kerangka kita yang besar. Walaupun ada yang kata, kalau (saya) bagi di Pulau Pinang, saya jaga Cina di sini, saya takut dengan DAP.

“Saya tidak terganggu dengan pandangan itu kerana saya fikir, dengar semua pandangan, di Kedah begini, di Kelantan begini, di Johor begini, di Pahang, Sabah dan Sarawak, saya kata ‘yes’ Pulau Pinang memerlukan LRT.

“Jika nak dengar semua kata-kata penghasut ini, siapa pun tidak akan untung dan negara ini akan mundur dengan perpecahan antara kaum serta isu agama,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI