KOTA KINABALU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kepimpinan negara dan negeri untuk bekerjasama dengan beliau, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat di persada dunia.
Beliau berkata kerajaan kini berada pada tahap untuk memastikan kekuatan ekonomi dijadikan sebagai fokus utama, supaya negara luar akan terus menghormati Malaysia bukan hanya kerana keamanannya tetapi juga dalam aspek polisi.
“Fokus saya adalah untuk memastikan kejayaan negara ini sebagai sebuah negara hebat dengan kekuatan ekonomi. Ini penting. Fundamental kita negara aman, mesra dengan semua negara.
“Orang marah saya sebab terlalu baik dengan China, dengan Amerika. Saya tidak peduli marah atau tidak, kerana saya mahu jaga Malaysia supaya menjadi negara besar. Kalau kita mahu berjaya dalam ekonomi, kita kena berkawan dengan semua,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Persatuan Industri Sabah di sini, malam ini.
–BERNAMA


