IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) diyakini mampu memenangi 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025-2028.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Penerangan PKR I, Datuk Seri R Ramanan yang menyatakan sokongan 101 peratus terhadap anak sulung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisi jawatan itu.
Menurutnya, Nurul Izzah membuktikan keupayaannya sewaktu menjadi Pengarah Pilihan Raya apabila PKR berjaya memenangi 47 kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu jumlah tertinggi pernah dicapai parti itu.
“Her performance, her track record is proven. Paling banyak parti ini telah menang adalah semasa PRU14 dan itu ketika Nurul Izzah menjadi Pengarah Pilihan Raya.
“Sekiranya Nurul Izzah kembali menerajui peranan tersebut, tidak mustahil PKR mampu mencatatkan kemenangan semula 50 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan 22 daripada 24 cabang PKR di Perak, di Hotel Casuarina@Meru, pada Isnin.
Ramanan turut memaklumkan, jika trend semasa dibiarkan berterusan, tidak mustahil jumlah kerusi yang dimiliki PKR boleh merosot daripada 31 kepada hanya 19 kerusi.
“Sebab itu kita perlukan beliau kembali. Kita perlukan formula yang beliau gunakan dahulu untuk menangkan 50 kerusi. Kita mahu bangkit semula,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan sokongannya tidak dipengaruhi oleh sebarang agenda peribadi atau politik dalaman.
“Saya satu kolam sahaja. Saya bukan pilih kasih. Saya sokong berdasarkan prestasi dan fakta. Saya mahu parti menang lebih banyak kerusi, saya mahu parti lebih kuat,” ujarnya.
Beliau yakin sekiranya Nurul Izzah memegang jawatan Timbalan Presiden semasa PKR berada dalam kerajaan, potensi kemenangan lebih besar dapat dicapai kerana kekuatan dan semangat yang dibawa olehnya akan memberi dorongan kepada jentera parti.
“Saya serahkan kepada beliau. Masa depan parti bergantung kepada pemimpin yang mempunyai rekod kejayaan, dan Nurul Izzah telah membuktikannya,” katanya lagi.
Sementara itu, Ramanan menafikan dakwaan sokongan masyarakat India terhadap PKR menurun.
Tambahnya, beberapa program telah dilaksanakan khusus untuk masyarakat India membuktikan kaum itu tidak dipinggirkan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, majoriti cabang PKR di negeri itu memang menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah.
“Bagaimanapun keputusan itu terpulang kepada perwakilan untuk membuat pilihan sewaktu pemilihan nanti,” jelasnya.- MG Perak
Artikel Berkaitan: