Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing

KISAH kematian enam ekor kambing pada awal pembabitan dalam bidang penternakan bukan sekadar pengalaman pahit, sebaliknya menjadi titik perubahan yang membentuk tekad seorang usahawan muda dari Ipoh, Perak untuk bangkit dan berjaya.

Kegagalan akibat kekurangan ilmu itu membuka ruang pembelajaran berharga buat pemilik perusahaan U Kambing Enterprise Madzarul Yusuf Ahmad, 34, yang menjadi pemangkin kepadanya untuk terus berusaha bagi memastikan perniagaan penternakan kambing diceburinya terus maju ke hadapan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Antarabangsa UNITAR mengambil langkah berani menceburi bidang penternakan selepas tamat pengajian, tanpa pengalaman dan tanpa latar belakang keluarga dalam perniagaan sekitar tahun 2017.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Daripada bermula tanpa pengalaman sehingga menjadi antara penternak kambing berjaya di Perak, pemilik U Kambing Enterprise, Madzarul Yusuf Ahmad, 34, menunjukkan anak kambing ternakannya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Meniaga burger, char kuetiau kumpul modal

Perjalanan dalam bidang penternakan yang dilalui Madzarul Yusuf bukan setakat mencari rezeki, tetapi misi jangka panjang membina jenama tempatan berasaskan produk kambing yang berkualiti tinggi dan dipercayai pengguna.

“Sebenarnya, saya memang minat berniaga dari zaman universiti. Orang lain mungkin menggunakan masa terluang untuk bermain atau melepak tetapi saya akan ke kelas pada waktu siang dan waktu malam dimanfaatkan sepenuhnya untuk berniaga burger dan char kuetiau di tepi jalan bagi menambah wang saku.

“Wang simpanan hasil perniagaan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan tersebut.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Pemilik U Kambing Enterprise, Madzarul Yusuf Ahmad memberi makanan kepada kambing ternakannya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Bagaimanapun, untuk dua tahun pertama saya memang loss (kerugian) dan dari situ saya mula mengikuti pelbagai kursus penternakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang diadakan secara percuma.

“Pihak kerajaan sangat berbesar dan bermurah hati dengan membuka ruang dan peluang untuk anak muda seperti saya menimba ilmu.

“Melalui ilmu itu saya dapat membetulkan perniagaan dan alhamdulillah dapat mengatasi kematian kambing dan menjadi antara penternak ‘top‘ di Perak dalam bidang ternakan kambing yang kadar kematiannya hampir 0 peratus,“ katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik Chemor, baru-baru ini.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Suasana sekitar kandang kambing milik U Kambing Enterprise di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

JPV, LPP, StEP hulur bantuan

Anak keempat dari lima beradik ini berkata, perniagaannya mula mendapat perhatian dan turut diperkukuh dengan pelbagai bantuan kerajaan.

“Pada tahun 2018, saya menerima Geran Agropreneur Muda bernilai RM15,000 bagi membantu mengembangkan perniagaan.

“Setahun kemudian, saya menerima geran Rise Up daripada LPP berjumlah RM60,000 secara padanan 50-50 yang dimanfaatkan untuk membeli peralatan serta mesin pemprosesan.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Pekerja U Kambing Enterprise menjalankan proses perapan dan pemprosesan daging kambing menggunakan mesin khas sebagai sebahagian daripada penghasilan produk sejuk beku di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selepas itu, pada 2021, alhamdulillah sekali lagi menerima geran menerusi program Change Upgrade Product bernilai RM85,500, melibatkan gabungan sumbangan kerajaan dan pelaburan sendiri sebanyak RM25,500 sebagai komitmen usahawan,” ujarnya yang menternak kambing baka Saanen dari Australia.

Madzarul Yusuf berkata, selain menjual kambing hidup, mereka turut menjual kambing golek dan membekalkan kepada pengusaha katering secara kecil-kecilan.

“Bagaimanapun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimpa, kami tidak dapat membekalkan kambing kepada pengusaha katering dan restoran.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Pekerja U Kambing Enterprise menjalankan proses perapan dan pemprosesan daging kambing menggunakan mesin khas sebagai sebahagian daripada penghasilan produk sejuk beku di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Paling sedih sekali, jualan kambing golek kami juga turut terjejas. Ini kerana kami dikenali di Perak kerana kambing golek.

“Bagi memastikan operasi terus berjalan dan mencari pendapatan untuk menggajikan pekerja serta membayar tanggungan lain seperti kos sewa, pinjaman bank, saya mendapat idea untuk menghasilkan kambing perap menggunakan resipi kambing golek sendiri yang diperkenalkan pada hujung 2021,” jelasnya.

Katanya, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) turut memberi peluang kepadanya untuk menyertai ekspo serta Persidangan Perniagaan Antarabangsa Selangor 2024 dan Persidangan Perniagaan Antarabangsa Melaka 2025 yang membantu produknya menembusi pasaran pasar raya.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Pekerja U Kambing Enterprise mengeluarkan daging kambing yang telah diperap dari mesin pemprosesan sebelum melalui proses seterusnya seperti penimbangan dan pembungkusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette (MG) Perak di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Dari kambing golek ke kambing perap

Tambahnya, setakat ini syarikatnya mengeluarkan produk sejuk beku iaitu kambing perap dan produk sedia dimakan iaitu daging minang atas jenama U Kambing dengan lapan lagi produk baharu makanan sedia dimakan dirancang untuk dilancarkan dalam masa terdekat.

Beberapa kejayaan dan pengiktirafan turut diterima usahawan muda ini antaranya Top 3 Usahawan Agro Negeri Perak 2022, Naib Johan Usahawan Agro Negeri Perak 2025 dan Finalis Top 3 Agro Perdana Muda Peringkat Kebangsaan 2024.

Dalam masa sama, beliau aktif dalam aktiviti tanggungjawab sosial termasuk menyumbang kepada rumah anak yatim dan golongan gelandangan sekurang-kurangnya dua bulan sekali.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Pekerja U Kambing Enterprise menjalankan proses pembungkusan produk kambing perap mengikut prosedur operasi standard bagi memastikan kualiti dan kebersihan terjamin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette (MG) Perak di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Usaha perluas kambing perap ke pasaran antarabangsa

Sementara itu, Madzarul Yusuf bercadang untuk memindahkan operasi ke Halal Park Tambun untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Beliau berkata, fokus utama adalah pengeluaran berskala kilang serta mendapatkan pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan standard Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi membolehkan produk menembusi pasaran antarabangsa.

Gagal, belajar, bangkit: Perjalanan Madzarul Yusuf bina empayar U Kambing
Pemilik U Kambing Enterprise, Madzarul Yusuf Ahmad, 34, bersama pekerja memeriksa dan menyusun produk kambing perap selepas proses pembungkusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette (MG) Perak di Kawasan Perindustrian Pusat Seramik, Chemor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Madzarul Yusuf juga menasihatkan golongan belia yang ingin terjun ke bidang perniagaan supaya berani dan jangan sesekali mudah berputus asa.

“Jangan mudah berputus asa. Saya bermula daripada kosong tanpa ilmu dan pengalaman. Rebut peluang yang disediakan kerajaan seperti kursus dan latihan, kebanyakannya percuma. Ilmu adalah kunci utama dalam apa jua bidang, sama ada perniagaan atau kerjaya,” nasihatnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Selipar ‘ikonik’ guna tayar terbuang, sokong kelestarian alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI