IPOH – Bermula dengan sekadar mencuba-cuba, Rodziah Mohd Ali, 37, tidak menyangka perniagaan Pasta Cedok yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu mendapat sambutan menggalakkan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, ia susulan langkahnya memuat naik video perniagaan menjual makanan tradisi Itali secara bergerak menggunakan van itu ke aplikasi video pendek TikTok.
Katanya, perniagaan yang pada awalnya sedikit perlahan secara tiba-tiba diketahui secara meluas sehingga pelanggan sanggup beratur panjang bagi menikmati pasta yang dihasilkannya.
“Selepas saya muat naik kandungan video perniagaan ke TikTok, ia membuatkan saya meraih kehadiran pelanggan yang ramai. Ada ketika, saya belum mula buka van, sudah ada yang beratur menunggu.
“Kadang-kadang jika saya ke pasar untuk membeli bahan mentah pun, ada yang menegur saya sebagai ‘Kakak Pasta Cedok’.
“Dan pada saat itu, saya sedar video Pasca Cedok sudah tersebar meluas,” katanya ketika ditemui MG Perak, di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dekat sini, baru-baru ini.
Rodziah berkata, antara juadah yang dijual adalah ‘pesto pasta’, ‘pasta chicken bolognese’, ‘aglio olio’, bebola daging, ‘creamy gochujang’ serta pasta chicken alfredo yang sering menjadi pilihan utama pelanggan.
“Pada hari saya berniaga, saya akan mula keluar rumah seawal jam 9 pagi untuk pergi ke pasar bagi mendapatkan bahan-bahan mentah. Kemudian pada tengah hari, saya akan mula masak bagi menyediakan bahan diperlukan seperti kuah dan sebagainya.
“Kebiasaanya saya menyasarkan jualan 120 ke 150 bungkus bermula pada jam 9 malam sehingga tengah malam,” katanya.
Berkongsi detik-detik awal perniagaan dia berkata, idea menjual pasta menggunakan van timbul selepas perniagaan menjual nasi lemak yang diusahakan di lokasi lain sebelum ini berhadapan masalah.
Katanya, demi membantu suami meneruskan kelangsungan hidup dia mengeluarkan RM1,000 daripada duit simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai modal perniagaan.
Menurut Rodziah, suami, Elham Mifzal Ellias, 30, pula mendapatkan van yang digunakan itu daripada seorang rakan kerana berminat untuk memilikinya.
Tambahnya, mereka berdua pada awalnya merancang untuk menjual kopi secara bergerak menggunakan kenderaan itu, namun faktor kewangan menjadi penghalang rancangan mereka.
“Kemudian kami berfikir, wang KWSP yang telah dikeluarkan itu dirancang untuk digunakan bagi memulakan perniagaan secara santai, tetapi tidak terlalu meniru orang lain.
“Secara kebetulan saya melihat di media sosial Instagram, ada iklan tentang makanan pasta. Daripada situ, saya berbincang dengan suami untuk menjual pasta menggunakan van berkenaan.
“Seterusnya saya belajar menghasilkan pasta melalui video-video cara masakan yang ada di media sosial seperti YouTube dan sebagainya,” katanya lagi.
Cabaran penjaja kecil
Rodziah memberitahu, walaupun perniagaan Pasta Cedok hanya beroperasi waktu malam pada Jumaat sehingga Ahad, hasil keuntungan yang diperoleh mampu membantu dia dan suami membesarkan keluarga.
Jelasnya lagi, sebagai penjaja kecil, dia juga tidak kurang berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca.
Katanya, cuaca hujan lazimnya akan menyebabkan kehadiran pelanggan agak kurang dan tidak seperti biasa kerana lokasi perniagaan di tepi jalan.
Di samping itu Rodziah memberitahu, keluarga adalah faktor utama wanita itu untuk terus cekal dalam dunia penjaja kecil walaupun pernah berhadapan pelbagai situasi sukar sebelum ini.
“Dorongan saya untuk terus berniaga adalah hendak mencari wang demi membantu suami menyara keluarga, kerana mereka adalah ‘big why’ saya.
“Apabila berniaga, kami dapat melangsaikan hutang-hutang yang ditanggung sebelum ini, selain mempunyai masa untuk bersama keluarga.
“Pada masa sama, sokongan suami saya yang sentiasa berada di sisi juga menjadi penguat saya untuk teruskan juga perniagaan ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: