Gajah mati dilanggar SUV

GERIK – Seekor gajah liar mati dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 50 Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) Gerik – Jeli malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, insiden kemalangan itu melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail dan kereta jenis Perodua Axia.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kenderaan SUV yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun bersama dua penumpang lelaki dan wanita masing-masing berusia 39 dan 44 tahun yang dari arah Pasir Mas, Kelantan menghala ke Gerik telah melanggar seekor gajah yang melintas secara tiba-tiba.

“Pada masa sama kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama empat penumpang membabitkan seorang wanita berusia 37 tahun dan tiga kanak-kanak yang merupakan sebuah keluarga telah melanggar belakang SUV sehingga menyebabkan kematian pada gajah tersebut.

“Akibat kemalangan itu, kenderaan SUV telah mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan belakang manakala kereta Perodua Axia mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.

“Bagaimanapun pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, gajah tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak untuk tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sewaktu memandu dan melalui JRTB kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Satu maut, empat cedera termasuk dua kanak-kanak lelaki nahas dua kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI