IPOH – Dalam arus yang serba moden ini, masih ada dalam kalangan masyarakat yang bersifat ‘skeptikal‘ terhadap banduan.
Namun di sebalik tembok penjara, mereka sebenarnya sedang melalui proses pemulihan dengan mempelajari pelbagai kemahiran dan menghasilkan produk berkualiti sebagai usaha membina semula kehidupan masing-masing pada masa hadapan.
Justeru, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menyediakan latihan vokasional dan industri sebagai persediaan kepada mereka yang kemudiannya diterjemahkan menerusi penghasilan pelbagai produk berkualiti tinggi merangkumi hasil kraf kayu, besi, perabot, fabrik, pastri serta tekstil eksklusif.
Produk-produk tersebut dipasarkan di Galeri Seni Warisan My Pride yang mengetengahkan hasil kreatif banduan di seluruh Malaysia.

Hasil kemahiran banduan kini di Perak
Warga Perak boleh mendapatkan pelbagai jenis produk antaranya makanan sejuk beku, perabot kayu malah produk terkenal seperti Tenun Pahang Diraja turut dijual di galeri tersebut yang kini beroperasi di Bazar Kandang Kuda (Ipoh Stables Market), Jalan Raja Dihilir, di sini.
Pengurus galeri yang juga Ketua Inspektor Penjara di Pusat Koreksional Batu Gajah, V Annie berkata, premis tersebut menjadi galeri jualan rasmi produk JPM di Perak serta platform bagi memperkenalkan hasil tangan banduan kepada masyarakat umum.
“My Pride adalah singkatan kepada penjenamaan produk-produk Jabatan Penjara. Produk yang dipamer dan dijual di sini semuanya adalah hasil buatan banduan atau prospek yang sedang menjalani pemulihan di dalam penjara.
“Galeri ini menghimpunkan produk daripada pelbagai institusi penjara bukan sahaja di Perak, malah melibatkan penjara di Pahang, Kelantan, Kedah dan Selangor.

“Kita gabungkan semua hasil daripada penjara-penjara luar Perak untuk dijual di sini,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Menurutnya, galeri berkenaan merupakan yang pertama di Perak selepas operasi terdahulu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng ditamatkan kira-kira lima tahun lalu.
Tenun Diraja Pahang antara produk eksklusif
Katanya, galeri tersebut menempatkan beberapa lot jualan merangkumi pastri dan snek, kraf tangan kayu dan besi, serta produk fabrik dengan harga yang amat berpatutan.
Tambahnya, produk fabrik adalah antara tarikan utama dengan penglibatan penjara-penjara yang terkenal dalam penghasilan tekstil warisan.

“Kita ada Tenun Pahang Diraja, tekat (benang emas) dari Penjara Tapah serta batik dari Pengkalan Chepa dan Penjara Wanita Kajang. Produk-produk ini memang eksklusif, malah ada kain yang bernilai sehingga RM6,000,” ujarnya.
Beliau berkata, galeri tersebut menempatkan produk dari lapan penjara dari seluruh negara iaitu Penjara Pokok Sena, Kedah; Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Tapah dan Pusat Koreksional Batu Gajah di Perak; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Bentong, Pahang dan Penjara Kajang, Selangor.
“Dalam masa terdekat, kita akan tambah lebih banyak produk dan mempelbagaikan lagi pilihan kepada orang ramai,” jelasnya.

Latihan kemahiran salah satu proses pemulihan
Dalam pada itu, Annie turut menjelaskan bahawa latihan kemahiran yang diberikan kepada banduan adalah sebahagian daripada proses pemulihan jangka panjang.
“Kita beri pelbagai kemahiran seperti pastri, kayu, besi dan fabrik supaya apabila mereka bebas nanti, mereka boleh menjana pendapatan dengan cara yang betul dan tidak kembali ke jalan yang salah.
“Hasil jualan daripada galeri ini akan dimasukkan ke dalam akaun amanah JPM yang akan digunakan untuk membangunkan program-program pemulihan dan latihan untuk banduan di dalam penjara.

“Sehubungan itu, kita berharap masyarakat akan datang menyokong produk JPM. Produk kami sangat berkualiti dan boleh dipercayai, di samping membantu memberi peluang kedua kepada mereka yang sedang menjalani pemulihan,” ujarnya.
Galeri My Pride beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan terbuka kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk serta operasi JPM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


