KUALA KANGSAR – Galeri Sultan Azlan Shah di sini, dijangka dibuka semula selewat-lewatnya sebelum menjelang tahun depan atau sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, galeri yang dirasmikan pada 9 Disember 2003 itu kini sedang menjalani kerja-kerja konservasi dan naik taraf.
Beliau berkata, antara faktor kelewatan pembukaan semula galeri tersebut adalah kerana proses kerja yang memerlukan penelitian khusus, terutamanya dari segi perolehan bahan binaan.
“Kerja menaik taraf bangunan warisan ini tidak sama seperti bangunan biasa kerana ia memerlukan perhatian yang teliti agar nilai sejarahnya tidak terjejas.
“Contohnya, terdapat beberapa bahagian struktur bangunan yang perlu ditempah khas memandangkan bahan tersebut sukar diperoleh pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika lawatan kerja di Jambatan Victoria di Enggor, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pegawai Pembangunan Kampung Baru, Izac Poh Peng serta Ketua Kampung Baru Karai, Leu Poh Kin.
Menurut laman sesawang Lembaga Muzium Negeri Perak, Galeri Sultan Azlan Shah telah ditutup pada Jun 2023 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja konservasi dan naik taraf pameran.
Difahamkan galeri yang terletak di Bukit Chandan itu juga pernah ditutup sementara pada April 2018 bagi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Galeri Sultan Azlan Shah telah menjalani proses baik pulih dari istana lama iaitu Istana Hulu atau disebut Istana Kota yang mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903.
Ia pernah menjadi tempat persemayaman tiga orang Sultan Perak iaitu Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dan Sultan Yussuf Izzudin Shah.
Galeri berkenaan mempamerkan maklumat dan bahan-bahan peribadi Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: