Gangguan bekalan air di Muallim dijangka pulih sepenuhnya petang ini – Exco

IPOH – Gangguan bekalan air yang membelenggu penduduk di daerah Muallim akibat paip air pecah susulan kejadian kepala air di Sungai Slim Jumaat lalu dijangka pulih sepenuhnya petang ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini, kira-kira 60 peratus masalah gangguan air di daerah itu telah selesai malam tadi.

Menurutnya, bagi kawasan yang masih terjejas, Lembaga Air Perak (LAP) telah membekalkan air bersih menerusi tangki air sementara sehingga masalah tersebut selesai.

“Apabila jambatan runtuh, paip air LAP yang memberi bekalan air pecah sehingga banyak tempat terjejas misalnya di Proton City, Hospital Slim.

“Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan besar kerana kita ada tangki air yang mencukupi. Dalam masa 24 jam kita dapat kembalikan bekalan air.

“Paip pecah semalam sekitar jam 7 ke 8 malam dapat kita baiki hampir 60 peratus. Kalau kerja-kerja dapat diselesaikan hari ini, bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya petang ini, InsyaALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Sejahtera Desaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya, Kampung Rapat di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, kerja-kerja pembinaan tapak jambatan Bailey yang menghubungkan Slim Village dan Behrang sudah bermula sejak semalam.

Katanya, pembinaan jambatan sementara itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk siap sepenuhnya.

“Usaha untuk membuat tapaknya sudah dimulakan semalam dan hari ini apabila tapak itu dibuat di kedua-dua belah kiri dan kanan, bagi memastikan ia stabil untuk digunakan dalam masa seminggu.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan hubungan antara Slim Village dan Behrang untuk urusan harian melibatkan penduduk menggunakan laluan itu.

“Cuma kita tidak membenarkan kenderaan berat lebih 30 tan menggunakan jambatan Bailey. Kita beri keutamaan kepada orang nak pergi dan balik kerja serta anak- anak yang hendak ke sekolah, jadi kita hadkan berat kenderaan,” jelasnya.

Beliau berkata, setakat ini faktor cuaca tidak menghalang kerja pembinaan jambatan dijalankan di kawasan tersebut.

“Kita risau jika ada lagi kepala air, kalau cuaca agak berat kalau kepala air datang itu kita kena berhentikan kerja kerana ia bahaya. Buat masa ini ada stabiliti pergerakan tanah tidak nampak sangat dan kita teruskan ground work (kerja di lapangan).

“Jika hujan lebat sangat barangkali kita kena lihat ada unsur-unsur kepala air, itu kita kena berhenti, selamatkan jentera dan pekerja,” ujarnya.

Semalam MG Perak melaporkan, sebuah jambatan Bailey akan dibina sebagai jambatan alternatif sementara kepada Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Hulu, dekat sini yang runtuh akibat kejadian kepala air pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jambatan yang menjadi saksi kepada pertempuran tentera British dan Jepun sewaktu ketika dahulu itu merupakan laluan utama kepada penduduk setempat.

Katanya, justeru jalan raya ke jambatan sepanjang 77 meter (m) itu ditutup sementara bagi langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan orang awam terjamin. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gangguan bekalan air di Muallim dijangka selesai berperingkat mulai esok-Exco

Kepala air Slim River: Jambatan bailey akan dibina Saarani-

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI