IPOH – Gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di Teluk Intan sejak semalam hingga hari ini disebabkan kebocoran paip besi utama di Batu 7, Jalan Changkat Jong, Simpang Ganda.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Lembaga Air Perak (LAP) berhadapan kesukaran menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan kadar segera disebabkan air sungai berhampiran melimpah kawasan kebocoran.
Menurut beliau, hujan lebat yang berlarutan juga turut menyukarkan kakitangan LAP mengenalpasti punca kebocoran yang berlaku.
“Alhamdulillah pasukan LAP berjaya menyelesaikan masalah air yang bertakung di kawasan korekan dan kita mendapati punca kebocoran adalah pada ‘welding collar’ paip besi 700 millimeter (mm) yang dipercayai akibat pergerakan tanah.
“Kerja-kerja pembaikan secara kimpalan memerlukan ketiadaan air dalam paip tersebut dan proses pengeringan air dalam paip mengambil masa agak lama disebabkan saiznya yang besar dan injap berada jauh dari kawasan kebocoran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohammad Nizar berkata, kerja kimpalan juga mengambil masa ekoran rongga kebocoran yang agak besar dan memerlukan kimpalan dibuat secara beberapa lapisan.
“Kerja pembaikan telah dapat disiapkan pada jam 1 petang, hari ini dan kita dalam proses membuka injap air untuk memastikan paip dibaiki berkeadaan baik dan tidak bocor.\
“Injap utama telah dibuka setelah dipastikan tiada kebocoran di tempat pembaikan,” katanya.
Tambah beliau, pemulihan bekalan air sekitar Teluk Intan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kestabilan sistem.
“Kawasan tinggi dan hujung mungkin akan mengambil masa untuk stabil dan LAP akan terus memantau bekalan kepada pengguna dari masa ke semasa,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Setitik air pun ‘tak mandang’ – keluh pengusaha hotel, penduduk Pangkor